KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Golongan belia dinasihatkan supaya tidak hanya menumpukan kepada bidang makanan dan minuman (F&B), sebaliknya meneroka peluang yang lebih luas dalam sektor francais lain yang berpotensi tinggi untuk dikembangkan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Kerajaan melihat potensi dalam bidang-bidang lain terlalu besar untuk diabaikan. Belia kita perlu bergerak sama ada dalam kumpulan atau secara individu, bagi meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan," katanya berucap merasmikan Konvensyen Francais ASEAN (AFC) dan Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.
Zahid turut menggesa anak muda agar mendekati agensi seperti Persatuan Francais Malaysia (MFA) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), untuk mendapatkan khidmat nasihat serta bimbingan dalam menstrukturkan produk tempatan menjadi jenama francais yang berdaya saing.
“Produk-produk tempatan harus bukan sahaja kukuh di dalam negara, tetapi boleh difrancaiskan dan dikembangkan ke peringkat antarabangsa. Peruntukan dalam belanjawan untuk sektor francais ini cukup memberangsangkan, selain pelbagai skim pembiayaan lain yang disediakan kerajaan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata MFA telah memainkan peranan aktif dalam membina ekosistem francais tempatan yang bersedia menembusi pasaran serantau, khususnya di negara-negara ASEAN.
“Pasaran ASEAN mempunyai kira-kira 600 juta penduduk. Jika kita berjaya menembusi hanya 10 peratus pasaran itu, kita sudah ada potensi 60 juta pelanggan,” katanya.
Turut hadir Menteri KUSKOP Datuk Ewon Benedick, Timbalan Menteri KUSKOP Datuk Seri R. Ramanan, Pengerusi MFA Datuk Dr Radzali Hassan serta peserta konvensyen.
Sementara itu, Radzali berkata program yang berlangsung dari 7 hingga 10 Mei itu, menghimpunkan lebih 160 syarikat francais dan 250 pempamer daripada pelbagai negara dan dijangka menarik kehadiran lebih 30,000 pengunjung, menjadikannya antara acara francais terbesar di Asia Tenggara.
“FIM 2025 menampilkan pelbagai jenama francais tempatan dan antarabangsa dari 16 buah negara termasuk China, Filipina, India, Indonesia, Korea Selatan, Singapura, Vietnam dan banyak lagi,” katanya.
Radzali turut berharap agar penganjuran AFC dan FIM, dapat menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pesat industri francais negara, seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi serta memperkukuh kedudukan Malaysia di peringkat serantau dan global.
Dalam pada itu, menyentuh harapan Zahid agar lebih ramai belia melibatkan diri dalam bidang keusahawanan, beliau berkata MFA sentiasa komited untuk membantu golongan muda memulakan langkah dalam dunia perniagaan.
“Kita telah merangka pelbagai program keusahawanan khusus untuk golongan belia dan pelajar universiti. Apa yang kita harapkan sekarang ialah agar mereka lebih mendekati dan terlibat secara langsung dengan inisiatif yang disediakan.
“Kita lihat generasi muda hari ini lebih cekap, pintar dan mahir menggunakan platform digital, ini merupakan kelebihan besar yang patut dimanfaatkan.
Beliau turut memaklumkan bahawa MFA baru-baru ini diiktiraf oleh ASEAN Records sebagai penganjur Pameran Francais Tahunan Terlama di ASEAN, menerusi 32 edisi berturut-turut Malaysia International Franchise Exhibition (FIM) sejak tahun 1994.
"Pengiktirafan ini adalah bukti kepada dekad usaha berterusan dan peranan kami dalam memacu pertumbuhan francais serantau," katanya.
-- BERNAMA