KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Kempen Bijak Air MADANI yang dilancarkan hari ini menjadi pemangkin kepada gerakan nasional dalam usaha menjamin keterjaminan sumber air negara secara menyeluruh, progresif dan berimpak tinggi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata kempen tersebut bukan sekadar inisiatif komunikasi, sebaliknya satu usaha kolektif yang menuntut kesedaran dan mencetuskan anjakan budaya daripada semua lapisan masyarakat.
“Majlis hari ini bukan sekadar pelancaran, tetapi titik mula kepada satu gerakan nasional yang lebih besar yang seiring dengan pelbagai inisiatif serantau dan global seperti kempen ‘Every Drop Counts’ di Singapura, ‘Water for Life’ di Eropah dan gerakan ‘UN Water Action Decade’ di peringkat antarabangsa.
“Pendidikan mengenai kelestarian bukan lagi pilihan tetapi tuntutan masa, kerana tabiat kita hari ini akan menentukan nasib generasi akan datang,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian kempen berkenaan di sini hari ini.
Beliau berkata kempen tersebut digerakkan menerusi empat tonggak utama iaitu kelestarian (sustainability), pemeliharaan (preservation), advokasi (advocacy) dan asuhan (nurture) yang merangkumi pendekatan pendidikan, penglibatan pelbagai pihak serta perubahan tingkah laku masyarakat secara menyeluruh.
Fadillah berkata kempen Bijak Air MADANI meletakkan setiap individu sebagai ejen perubahan dengan menjadikan isu air sebagai tanggungjawab bersama, sekali gus memperkukuh peranan rakyat dalam memastikan kelestarian sumber air negara.
“Melalui kempen ini kita membina jambatan antara dasar negara dengan perubahan tingkah laku masyarakat ke arah pengurusan air yang lebih bijak dan berkesan. Tanpa air yang mencukupi, bersih dan selamat, segala perancangan pembangunan negara akan terbantut,” katanya.
Beliau berkata meskipun Malaysia dikurniakan kadar taburan hujan yang tinggi, negara tetap berdepan cabaran serius seperti pencemaran sungai, pembangunan tidak terkawal serta peningkatan permintaan air akibat pertambahan penduduk serta urbanisasi.
Fadillah berkata selain itu perubahan iklim turut menyebabkan fenomena luar jangka seperti banjir di luar musim dan gangguan terhadap sumber air mentah, tambahnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa PETRA sedang giat memperkukuhkan penguatkuasaan terhadap pencemaran sumber air, termasuk usaha meminda Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, memperluas sistem pemantauan di lokasi strategik serta memperkenalkan pelbagai inisiatif pendidikan dan kempen kesedaran.
-- BERNAMA