KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Malaysia komited untuk memperluaskan penggunaan teknologi ‘trenchless’ (teknologi tanpa pengorekan) sebagai sebahagian daripada strategi bagi pembangunan infrastruktur yang lebih mampan dan impak yang rendah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau yang juga yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata kaedah itu terbukti berkesan dalam membolehkan pembinaan utiliti bawah tanah yang lebih pantas dan selamat seperti sistem pembetungan, saluran paip air dan rangkaian telekomunikasi - khususnya di kawasan bandar yang padat dengan penduduk.
“Aplikasi seperti pembicuan paip telah membolehkan peletakan saluran pembetungan di kawasan bandar dan sesak dengan gangguan permukaan yang minimum, memainkan peranan penting dalam pengembangan dan pemodenan sistem pembetungan Malaysia,” katanya ketika merasmikan Trenchless Asia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Beliau berkata di Lembah Klang, Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah melaksanakan beberapa projek pembetungan serantau yang luar biasa.
Fadilah berkata projek-projek ini telah berjaya menghubungkan berjuta-juta isi rumah kepada sistem rawatan kumbahan berpusat, meningkatkan standard pelepasan efluen dan membantu melindungi sungai untuk yang penting untuk generasi akan datang.
Beliau berkata dengan meminimumkan penggalian dan gangguan di permukaan, kaedah itu dapat membantu memelihara alam sekitar, mengurangkan gangguan komuniti dan mengelakkan kerosakan pada infrastruktur sedia ada.
Timbalan Perdana Menteri berkata pendekatan ‘trenchless’ bukan sahaja memberikan alternatif, tetapi harus dilihat sebagai teknologi teras untuk pembangunan mampan, sejajar dengan agenda jangka panjang kerajaan di bawah AIR 2040, satu pelan hala tuju strategik yang bertujuan mengubah sektor perkhidmatan air Malaysia.
"Teknologi trenchless sangat sesuai dengan AIR 2040, terutama dalam memulihkan saluran paip yang sudah lama dan menyepadukan penyelesaian air pintar, tanpa kelewatan yang sering dikaitkan dengan kaedah konvensional," katanya.
Fadillah turut mengalu-alukan cadangan kolaborasi antara International Society for Trenchless Technology (ISTT) dan pemain tempatan bagi memupuk kesedaran mengenai penggunaan teknologi berkenaan di peringkat akademik.
Beliau berkata dengan menyepadukan teknologi trenchless ke dalam kurikulum universiti dan program vokasional, Malaysia boleh melengkapkan graduannya dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menerima teknologi moden ini.
Trenchless Asia adalah pameran dan persidangan antarabangsa berkenaan teknologi tanpa korekan di rantau Asia yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di KLCC.
-- BERNAMA