JENAYAH & MAHKAMAH

KES JENAYAH SEKSUAL DI PERLIS MENINGKAT 31 PERATUS - POLIS

07/05/2025 09:41 PM

ARAU, 7 Mei (Bernama) -- Kes jenayah seksual di Perlis mencatatkan peningkatan sebanyak 31 peratus atau 12 kes, daripada 39 kes pada 2023 kepada 51 kes pada tahun lalu.

Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim berkata 98 peratus kes tersebut melibatkan hubungan seks suka sama suka antara suspek dan mangsa yang masih di bawah umur.

“Lebih membimbangkan, terdapat pelajar berusia antara 12 hingga 16 tahun yang menjadi mangsa jenayah seksual sehingga melahirkan anak pada usia muda,” katanya pada sidang media selepas Program Hari Kesedaran Jenayah peringkat negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hussein di sini hari ini.

Muhammad berkata antara punca berlaku jenayah seksual itu ialah penyalahgunaan platform media sosial seperti WhatsApp, TikTok, Facebook dan Telegram, apabila remaja menggunakannya untuk mencari pasangan dan menjalin hubungan sebagai kekasih.

“Permulaan kepada perkenalan singkat itu menyebabkan mangsa dan suspek melakukan hubungan seks dan seterusnya terjerumus ke salah laku jenayah seksual,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhammad berkata kes buli melibatkan pelajar sekolah di Perlis mencatatkan enam kes pada tahun lepas berbanding sembilan kes pada 2023.

Bagi menangani isu jenayah yang melibatkan kanak-kanak, beliau menegaskan pihak polis telah mengambil pelbagai inisiatif termasuk mengadakan kempen kesedaran di tadika, sekolah rendah dan menengah, selain menggalakkan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan maklumat.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan