KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi bagi mengangkat Naib Presidennya Nurul Izzah Anwar memikul tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden pada pemilihan sesi 2025-2028.
Sebanyak 13 Ketua Cabang PKR Wilayah Persekutuan menerusi kenyataan hari ini, menyifatkan Nurul Izzah sebagai pemimpin yang sebati dengan perjuangan parti dan berpengalaman luas dalam mendepani pelbagai cabaran politik.
“Situasi cabaran serta perubahan landskap politik semasa tanah air menuntut langkah berani dalam usaha memperkukuh PKR, sebagai parti yang sentiasa di hadapan dalam menerajui pentadbiran negara.
“Melalui beberapa siri libat urus bersama akar umbi di peringkat nasional, PKR Wilayah Persekutuan mempunyai keyakinan teguh Nurul Izzah bakal menerima sokongan padu selaku figura utama akan memberi nafas baharu dalam menguatkan jentera parti mendepani PRU16 (Pilihan Raya Umum ke-16),” menurut kenyataan dimuat naik di akaun Facebook Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga Ketua Cabang Lembah Pantai.
Kesemua 13 Ketua Cabang PKR Wilayah Persekutuan itu ialah Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR, Ketua Cabang Bandar Tun Razak Datuk Azman Abidin, Muhammad Fikri Abdul Aziz (Putrajaya), Andre Lai (Wangsa Maju) dan Neo Wong (Kepong).
Turut menyokong ialah Ketua Cabang Titiwangsa Syed Badli Shah, Datuk Afdlin Shauki (Setiawangsa), Asheeq Ali (Batu), S. Thiyagaraj (Seputeh), Anwar Pawan Chik (Bukit Bintang), G. Vignesvaran (Segambut), Simsudin Sidek (Labuan) dan Mohamad Raimi (Cheras).
Menurut kenyataan itu, sokongan itu bukan bersandarkan hubungan atau nostalgia sejarah perjuangan, tetapi atas keyakinan terhadap kapasiti dan integriti Nurul Izzah atau dikenali sebagai Puteri Reformasi, sebagai pemimpin masa depan parti.
Kenyataan itu memaklumkan Nurul Izzah sebagai penggerak utama kempen Ayuh Malaysia, telah menghidupkan semangat anggota seluruh negara dan menjadi pendamai bagi menyatukan PKR sebagai keluarga besar, sehingga berjaya merealisasikan kemenangan parti untuk memerintah negara hari ini.
“PKR memerlukan susuk seperti Nurul Izzah yang mempunyai diplomasi tinggi untuk merapatkan saf dan menyatukan kekuatan dalaman serta memperkukuh jalinan bersama rakan gabungan.
“Insya-Allah langkah berani ini akan disahut oleh seluruh kepimpinan dan anggota parti untuk bergerak maju membawa harapan rakyat untuk Malaysia yang lebih baik kepada semua,” menurut kenyataan itu.
Selain PKR Wilayah Persekutuan, Nurul Izzah hari ini turut menerima sokongan untuk bertanding jawatan nombor dua parti itu daripada Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek yang juga Menteri Pendidikan, Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak.
Nurul Izzah sebelum ini mengumumkan bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan PKR bulan ini. Jawatan Timbalan Presiden PKR kini disandang Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli.
-- BERNAMA