PUTRAJAYA, 7 Mei (Bernama) -- Penjawat awam yang dijangka terkesan akibat kesesakan trafik sempena Sidang Kemuncak ASEAN hujung bulan ini disaran untuk memohon pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR).
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perkhidmatan awam, pelaksanaan dasar BDR bagi penjawat awam akan terus dilaksanakan secara fleksibel, tertakluk kepada peraturan yang sedang berkuat kuasa.
Menurut JPA, dasar itu yang diperuntukkan melalui Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM), Ceraian SR.4.1.2 bertujuan mewujudkan keseimbangan antara keperluan agensi dalam memastikan kesinambungan tugas serta keperluan kebajikan warga kerja dari segi kesejahteraan dan keharmonian kerja-kehidupan.
"Penjawat awam yang layak disaran berhubung dengan Ketua Jabatan masing-masing bagi pertimbangan sewajarnya," menurut kenyataan itu hari ini.
Langkah itu, menurut JPA, merupakan antara inisiatif Kerajaan MADANI yang mengutamakan tadbir urus berdaya tahan dan prihatin, sejajar dengan nilai-nilai teras MADANI seperti kesejahteraan, ihsan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
Pelaksanaan dasar BDR, menurut JPA perlu berpandukan kepada tatacara dan syarat yang telah digariskan dalam MyPPSM.
Sidang Kemuncak ASEAN 2025 dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 26 dan 27 Mei ini.
Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini akan menjadi tuan rumah bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang dijangka menghimpunkan sekitar 20,000 peserta, termasuk ketua negara, perwakilan, dan pegawai dari negara-negara anggota serta rakan dialog seperti China dan negara-negara Teluk.
-- BERNAMA