KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) merancang untuk memperluas Program Sekolah Dalam Hospital (SDH) di Hospital Orang Asli, Gombak, menjelang penghujung tahun ini, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Beliau berkata ketika ini KPM dan Kementerian Kesihatan (KKM) sedang membuat persiapan rapi untuk tujuan berkenaan sebagai usaha bagi memastikan anak Orang Asli turut tidak ketinggalan dalam pendidikan ketika mendapatkan rawatan di hospital.
“Setakat ini, sudah 50,000 pelajar mendapat manfaat menerusi program SDH di 19 fasiliti kesihatan yang juga sudah mencatat beberapa kisah kejayaan.
“Misalnya untuk SDH tahun ini, khususnya bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, sebanyak 91 peratus pelajar mencapai lulus dan layak mendapat sijil,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pemeteraian Nota Kerjasama antara KPM dan KKM Dalam Pelaksanaan Program SDH dan Majlis Perasmian Program SDH di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC).
Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Setakat ini, terdapat 19 SDH di seluruh negara yang melibatkan 16 fasiliti kesihatan di bawah KKM dan selebihnya hospital mengajar seliaan universiti.
Program SDH ialah satu perkhidmatan pendidikan khusus yang formal dan berstruktur berfokuskan kepada kesediaan dan keupayaan murid di hospital dengan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersifat fleksibel dan menekankan secara didik hibur di tempat yang selesa serta kondusif.
Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata HRC menjadi fasiliti ke-16 di bawah seliaan KKM yang melaksanakan program SDH, dengan yang pertama bermula di Hospital Tunku Azizah pada Julai 2011.
“Di HRC sahaja, seramai 118 murid telah didaftarkan, jumlah kehadiran melebihi 1,300 kali.
“Ini bukan sekadar angka, tetapi pelbagai kisah yang dipenuhi harapan, ketabahan dan semangat yang tak pernah luntur untuk terus belajar biarpun berdepan ujian berat dari segi kesihatan mereka,” katanya.
-- BERNAMA