GEORGE TOWN, 3 Mei (Bernama) -- Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin mengemukakan permohonan rasmi kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad agar sebuah hospital kerajaan dibina di kawasan Parlimen berkenaan.
Permohonan itu disampaikan ketika lawatan Dzulkefly ke Klinik Kesihatan Bayan Baru dekat sini semalam bagi meninjau pelaksanaan waktu operasi lanjutan dari jam 5 petang hingga 9 malam.
Menurut Sim cadangan itu dikemukakan berdasarkan kepadatan penduduk yang tinggi di kawasan Bayan Baru dan sekitarnya, yang kini mencecah 389,608 orang dengan kepadatan 10,881 orang setiap kilometer persegi.
“Kebanyakan penduduk terdiri daripada golongan B40 dan pekerja kilang. Jarak ke hospital kerajaan sedia ada juga terlalu jauh – Hospital Pulau Pinang sejauh 19 kilometer, manakala Hospital Balik Pulau pula terletak 17 kilometer dari sini.
“Keadaan ini menyukarkan pesakit, khususnya warga emas dan pesakit kronik, untuk mendapatkan rawatan segera,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Sim berkata peningkatan jumlah warga emas di daerah Barat Daya dan Bayan Baru turut menjadi faktor penting yang menyumbang kepada keperluan mendesak terhadap kemudahan kesihatan awam yang komprehensif dan mudah diakses.
Sementara itu, beliau berkata Dzulkefly menyambut baik permohonan berkenaan, namun menjelaskan kekangan utama ialah ketersediaan tanah memandangkan kementerian memerlukan sekurang-kurangnya 4.04 hektar bagi membangunkan hospital berskala besar.
“Beliau memohon agar kerajaan negeri dapat membantu mengenal pasti dan menyediakan tapak yang sesuai. Saya amat menghargai keterbukaan serta komitmen beliau terhadap cadangan ini.
“Saya berharap semua pihak, khususnya kerajaan negeri dapat berganding bahu demi merealisasikan pembinaan hospital kerajaan di Bayan Baru demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Sim turut menyambut baik pelaksanaan waktu operasi lanjutan Klinik Kesihatan Bayan Baru yang disifatkannya sebagai langkah serampang dua mata.
Katanya inisiatif itu bukan sahaja membantu mengurangkan kesesakan di waktu puncak, malah turut meringankan beban Hospital Pulau Pinang.
-- BERNAMA