JENAYAH & MAHKAMAH

TIGA LELAKI DIPENJARA SEUMUR HIDUP EDAR 32KG DADAH

06/05/2025 02:11 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan ke atas tiga lelaki, selepas didapati bersalah kerana mengedar dadah seberat 32 kilogram (kg), enam tahun lepas.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap penarik kereta S. Uvaraja, 48, R. Kalaikumar, 40, dan pemandu lori K. Paarthiban, 38, di akhir kes pembelaan.

“Mahkamah memerintahkan ketiga-tiga tertuduh dipenjara bermula dari tarikh tangkap pada 18 Jun 2019,” kata Hakim Azhar.

Tiga lelaki itu didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya iaitu Methampetamine seberat 32,682.4 gram (32kg) di tempat parkir kereta di sebuah kondominium di Jalan Desa Pandan di sini, pada 5.35 petang, 18 Jun 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati, tertuduh boleh dikenakan hukuman sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Hakim Azhar turut menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas Uvaraja, kerana didapati bersalah atas dua pertuduhan memiliki 0.15 gram (g) dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine dan 0.003g heroin serta 0.007g Monoacetylmorphines, di lokasi dan tarikh yang sama.

Kesalahan itu mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Pada prosiding hari ini, kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan