KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengetuai delegasi dalam misi ekonomi dan teknikal rasmi ke Kenya dari 6 hingga 8 Mei depan.
Kementerian Perladangan dan Komoditi dalam satu kenyatan hari ini berkata lawatan itu menekankan pendirian Malaysia dalam mengukuhkan hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan dengan negara-negara Afrika khususnya dalam sektor komoditi dan perladangan.
Johari dijadual mengadakan mesyuarat dua hala di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Kenya untuk mengembangkan kerjasama perdagangan dan pelaburan terutamanya dalam sektor minyak sawit dan meneroka bagaimana kedua-dua negara boleh menyumbang kepada ekosistem pengeluaran minyak sawit global.
Selain itu, beliau akan menghadiri dialog dan perbincangan meja bulat dengan penggiat industri untuk mengenal pasti bidang strategik untuk kerjasama, mengukuhkan rangkaian perdagangan dan mempromosikan minyak sawit Malaysia.
Lawatan ke kemudahan perindustrian terpilih akan dilakukan untuk mendapatkan maklumat mengenai landskap pengeluaran Kenya dan meneroka peluang kerjasama seterusnya, katanya.
Kenya dianggap sebagai rakan strategik dan pintu masuk ke pasaran serantau.
Ia merupakan ahli Komuniti Afrika Timur (EAC) terdiri daripada Burundi, Congo, Rwanda, Somalia, Sudan Selatan, Uganda dan Tanzania dengan gabungan penduduk melebihi 330 juta orang.
"Ini menjadikan EAC sebagai blok ekonomi utama di Sub-Sahara Afrika, menawarkan potensi besar untuk pengembangan pasaran," katanya.
Kesatuan Kastam EAC, ditubuhkan pada 2005, membenarkan produk yang memasuki mana-mana satu negara anggota seperti Kenya, diedarkan secara bebas ke seluruh rantau ini tanpa tarif tambahan, menyediakan Malaysia dengan platform kos efektif dan cekap untuk meningkatkan eksportnya khususnya minyak sawit ke pasaran Afrika Timur yang lebih luas.
Kenya ialah pengimport minyak sawit terbesar Malaysia di Sub-Sahara Afrika, ia menyumbang 42 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia pada 2024 dengan 85 peratus bahagian pasaran di negara ini, katanya.
Dalam pada itu, Kenya memainkan peranan utama dalam membentuk dasar perdagangan serantau dan kini merupakan Pengerusi Sidang Kemuncak Ketua-Ketua Negara EAC dan Majlis Menteri-Menteri EAC.
Ini meletakkan Kenya sebagai rakan kongsi yang sangat berpengaruh dalam memajukan integrasi perdagangan serantau dan menawarkan Malaysia pintu masuk strategik ke pasaran Afrika yang lebih luas, katanya.
“Misi ekonomi ini mewakili platform strategik dan masa yang paling sesuai untuk meningkatkan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Kenya, memanfaatkan kepimpinan serantau Kenya, dan mengembangkan jejak Malaysia di Afrika Timur.
“Ia mengulangi komitmen Malaysia terhadap amalan perdagangan yang bertanggungjawab, mampan dan saling menguntungkan, pada masa sama mengenal pasti peluang global baharu untuk pertumbuhan dalam sektor komoditi,” katanya.
-- BERNAMA