EKONOMI

FMM SOKONG KOMITMEN KERAJAAN UNTUK PERLUAS PASARAN, KEPELBAGAIAN EKSPORT

05/05/2025 08:21 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menyokong komitmen kerajaan untuk memperluaskan akses pasaran dan meningkatkan kepelbagaian eksport bagi menangani kesan ekonomi dari tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS).

FMM melalui satu kenyataan hari ini berkata penyambungan semula Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan  Eropah (MEUFTA) adalah satu langkah positif selain sesuai dengan persekitaran sekarang.

"Kami berharap dapat menyaksikan kemajuan yang pantas dan tidak tertangguh," kata Presiden FMM, Tan Soh Thian Lai.

Beliau juga berkata dana tambahan RM50 juta untuk Matrade bagi menyokong pasaran baharu dan baru muncul seperti Majlis Kerjasama Teluk (GCC), BRICS,  Afrika Selatan dan Amerika Latin adalah tepat pada masanya.

"FMM secara konsisten menyeru ke arah strategi akses pasaran yang disasarkan dan sokongan yang lebih mantap untuk misi perdagangan serta inisiatif promosi eksport di rantau di luar rakan kongsi eksport tradisional Malaysia.

"Usaha ini sangat kritikal dalam iklim semasa, yang mana banyak pengeksport dengan segera telah beralih dari pasaran AS sebagai tindak balas kepada ketidakpastian yang berkaitan dengan tarif," katanya.

Pada 5 Mei 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan langkah-langkah semasa sesi Parlimen Khas bertujuan menangani impak ekonomi tarif AS ke atas pengeksport Malaysia dan ekonomi yang lebih luas. Kenyataan itu berkata FMM juga dirangsang oleh komitmen kerajaan untuk mengukuhkan perdagangan intra-ASEAN dan integrasi serantau.

"Kami amat berbesar hati bahawa usaha domestik semasa adalah sejajar dengan strategi serantau yang lebih luas yang FMM perjuangkan di bawah Malaysia selaku pengerusi ASEAN pada 2025," kata SOH.

FMM turut menyokong inisiatif Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk menubuhkan Majlis Rantaian Bekalan Negara bagi menangani kelemahan sistemik selain mengukuhkan koordinasi kebangsaan di seluruh sektor utama.

Majlis itu boleh menjadi platform strategik untuk menyelaraskan dasar, pengawalseliaan serta tindak balas operasi untuk gangguan rantaian bekalan dan meningkatkan kesediaan kebangsaan.

"Penyertaan sektor swasta adalah penting untuk memastikan strategi majlis didasarkan pada realiti operasi, dan FMM bersedia menyumbang sebagai ahli aktif dalam membentuk ekosistem rantaian bekalan domestik yang berdaya tahan serta berdaya saing," katanya.

Anwar semasa mesyuarat parlimen khas mengenai tarif AS pada awal hari ini mengulangi bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan dasar teras negara dalam rundingan tarif.

Beliau juga menjelaskan beberapa dasar kebangsaan utama seperti dasar Bumiputera, keperluan untuk vendor tempatan dan perlindungan sektor strategik, tidak akan diubah dalam mana-mana rundingan ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan memberitahu kerajaan AS telah bersetuju untuk terus berunding dengan Malaysia dan wujud kemungkinan untuk mengurangkan tarif timbal balik yang dikenakan.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan