EKONOMI

RUNDINGAN TARIF BERMULA ESOK, SIFAR TARIF KE ATAS MALAYSIA JADI OBJEKTIF UTAMA - TENGKU ZAFRUL

05/05/2025 11:19 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Malaysia akan memulakan rundingan tarif timbal balik bersama Amerika Syarikat (AS) pada Selasa dengan objektif utama supaya tiada tarif dikenakan ke atas negara terutamanya dalam sektor-sektor penting, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

Beliau berkata rundingan itu akan berlangsung secara maya diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Mastura Ahmad Mustafa sebagai ketua perunding Malaysia bersama Penolong Wakil Perdagangan AS untuk Asia Tenggara dan Pasifik (USTR) Sarah Ellerman.

Perbincangan awal adalah untuk memastikan apakah skop dan isu-isu teknikal perlu dibincangkan menerusi rundingan itu bagi mendapatkan persetujuan atau keputusan dalam situasi menang-menang.

"Dalam perbincangan dengan pihak pentadbiran AS, kita menyatakan bahawa objektif utama pertemuan, bukan sahaja nak kurangkan (tarif) tetapi kita mahu ‘go to zero’ (sifar tarif) jika boleh...tiada tarif dikenakan ke atas Malaysia.

"Selain itu, bagi rundingan yang akan bermula, kita juga akan meneruskan objektif supaya mendapat sekurang-kurangnya mengurangkan (tarif) tetapi objektif utama adalah memastikan negara kita tidak dikenakan tarif terutamanya sektor-sektor tertentu," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berhubung isu tarif AS, hari ini.

Terdahulu, pada 24 April lepas, Tengku Zafrul mengetuai delegasi peringkat tinggi ke Washington untuk mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Perdagangan AS Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer.

Pertemuan tersebut menekankan mengenai kepentingan mengadakan perbincangan secara berterusan dan kesediaan Malaysia mencari jalan penyelesaian secara membina terhadap kebimbangan disuarakan AS.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata AS telah menggariskan kebimbangannya dalam empat bidang utama iaitu ketidakseimbangan perdagangan, halangan bukan tarif seperti diketengahkan dalam laporan Anggaran Perdagangan Nasional (NTE), perlindungan teknologi dan isu berkaitan pelaburan.

"Dari perspektif mereka (AS), ketidakseimbangan perdagangan yang pada asasnya bermakna defisit perdagangan...dilihat kurang baik. Menurut data mereka, AS mencatatkan defisit perdagangan US$25 bilion dengan Malaysia," katanya.

Beliau berkata AS turut meluahkan kebimbangan mengenai halangan bukan tarif, bagi pendapat mereka ia boleh ditambah baik.

Mengenai perlindungan teknologi pula, Tengku Zafrul menjelaskan bahawa AS berminat untuk memastikan teknologinya tidak diakses oleh pihak yang tidak diberi kebenaran.

Dalam pada itu, AS berminat untuk memahami sektor apa yang Malaysia melabur dan menggalakkan sokongan untuk industri, sejajar dengan kepentingan mereka, katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan