KANGAR, 4 Mei (Bernama) -- Festival Perlis Mango and Agricultural Industry (PERMAI) 2025 menjadi platform memperkenalkan produk pertanian keluaran negeri ini dengan lebih meluas selain memberikan impak positif terhadap ekonomi negara.
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah ia juga menjadi ruang kepada peladang, penternak dan nelayan negeri ini mempamerkan hasil produk mereka serta berkongsi pengetahuan mengenai amalan terbaik dalam industri masing-masing.
“Program PERMAI diadakan sebagai satu pengiktirafan dan platform pemasaran produk pertanian oleh komuniti petani di Perlis untuk dikomersialkan dalam skala yang lebih besar,” titah baginda ketika menyempurnakan festival berkenaan di sini malam tadi.
Festival PERMAI 2025 yang berlangsung dari 2 hingga 4 Mei di dataran bersebelahan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, dijenamakan semula iaitu gabungan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) dan Festival Mangga Harumanis Negeri Perlis.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah baginda amat berbangga apabila dimaklumkan industri harum manis berkembang pesat melibatkan lebih 2,600 pengusaha dengan keluasan tanaman mencecah 1,745 hektar hingga kini.
“Pencapaian ini bukan sahaja memberi limpahan ekonomi kepada rakyat, tetapi juga memperkukuh imej Perlis sebagai negeri pertanian yang dinamik,” titah baginda.
Sementara itu, Raja Perlis bertitah petani, penternak dan usahawan tani kini wajar menguasai penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian seperti menggunakan pembelajaran mesin untuk pemantauan kesihatan tanaman dan penyemburan pintar bagi meningkatkan hasil serta kualiti produk.
“Saya yakin usaha berterusan untuk memodenkan dan memperkasakan sektor ini memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan makanan, memacu ekonomi, mencipta pekerjaan dan memelihara alam sekitar agar manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat,” titah baginda.
-- BERNAMA