AM

KERAJAAN PERUNTUK RM99 JUTA BINA RUMAH PELBAGAI KELAS KEM KABOTA

04/05/2025 03:48 PM

TAWAU, 4 Mei (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan RM99 juta bagi pembinaan rumah pelbagai kelas untuk Kem Kabota di sini, bagi keselesaan warga kem terbabit.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihak kontraktor serta Jabatan Kerja Raya (JKR), telah memberikan jaminan projek pembinaan rumah itu boleh disiapkan pada September tahun hadapan.

“Kita (Kementerian Pertahanan) memang akan beri tumpuan, supaya projek ini dapat disiapkan seperti mana jaminan dan janji yang diberikan oleh pihak kontraktor serta JKR.

“Kita akan pantau, kerana projek rumah ini sangat-sangat penting bagi tujuan untuk kita pastikan anggota-anggota kita mempunyai tempat penginapan yang baik, yang sesuai untuk kesejahteraan mereka serta keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak projek madu kelulut serta tapak projek pembinaan rumah keluarga angkatan tentera (RKAT) tambahan, di Kem Kabota di sini dengan diiringi Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan, tidak teragak-agak untuk menamatkan kontraktor bagi projek gagal membabitkan projek pembangunan di bawah Kementerian Pertahanan, dengan mengambil contoh kontraktor projek rumah kakitangan Kem Kukusan yang dihentikan serta-merta semalam.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama warga Kem Kabota, Mohamed Khaled berkata pihaknya sedar bahwa rumah sedia ada di setiap kem di negara ini memerlukan penyelenggaraan yang banyak.

“Kita bersyukur semenjak kerajaan MADANI peruntukan penyelenggaraan ditingkatkan. Sebelum ini, peruntukan penyelenggaraan seluruh negara tidak lebih RM100 juta, tetapi semenjak tahun 2023, Angkatan Tentera Malaysia diberikan peruntukan sebanyak RM400 juta bagi tujuan penyelenggaraan.

“Pada tahun ini Kem Kabota menerima peruntukan RM1 juta bagi penyelenggaran rumah, sedia maklum soal kesejahteraan anggota menjadi antara perkara utama Kementerian Pertahanan pada masa kini,” katanya.

Selain itu, Mohamed Khaled berkata ketika ini, kerajaan melalui Kementerian Pertahanan sedang menjalankan program membantu anggota tentera apabila bersara mendapat pekerjaan yang baik.

“Kita bekerjasama dengan beberapa universiti dan juga Jabatan Pembangunan Kemahiran, bagi memberi kelayakan kepada anggota sepanjang melaksanakan tugas, misalnya anggota ini hanya mempunyai kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bertugas di bahagian penyajian makanan, mereka boleh mendapatkan diploma melalui kerja mereka.

“Nak dapat diploma, nak dapat sijil kemahiran tidak perlu mengeluarkan duit kerana kerajaan telah beri peruntukan buat pertama kali sebanyak RM3 juta bagi menjayakan program ini, kita akan buka iklan tidak beberapa lama lagi, ada lebih kurang 10 ke 15 jenis pekerjaan yang melayakkan mendapat diploma ataupun sijil kemahiran supaya ada masa depan yang lebih baik apabila meninggalkan Angkatan Tentera Malaysia,” katanya

Beliau berkata anggota yang bersara pada usia 41 atau 42 tahun, tidak boleh hanya hidup dengan duit pencen dan sebab itu kerajaan pada hari ini mahu memastikan semua anggota mendapat kerja dengan gaji yang baik bagi membina keluarga yang sejahtera.

“Semua ini kita lakukan kerana kita menghargai peranan sumbangan yang dimainkan oleh tuan-tuan dan perempuan sebagai perwira negara," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan