JOHOR BAHRU, 4 Mei (Bernama) -- Seorang pemilik syarikat kerugian RM1.8 juta selepas mendakwa terperdaya dengan pelaburan dalam talian pada Oktober tahun lepas.
Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata lelaki tempatan berusia 66 tahun itu telah melihat iklan pelaburan di laman sosial yang menawarkan pulangan tinggi dalam masa singkat
Beliau berkata mangsa tertarik dengan iklan itu dan menekan pautan yang diberikan bagi mendapatkan maklumat lanjut dan ditawarkan keuntungan 200 peratus daripada jumlah pelaburan dibuat dalam tempoh tiga bulan.
“Seterusnya, mangsa membuat pembayaran berjumlah RM1.8 juta ke beberapa akaun bank pada November 2024 hingga Januari lepas selain memuat turun aplikasi dan mendaftar akaun di aplikasi itu bagi memantau pelaburannya, seperti yang diarahkan suspek.
“Bagaimanapun, sehingga kini mangsa tidak menerima sebarang pulangan atas pelaburannya dengan suspek telah memberikan pelbagai alasan. Mangsa percaya dia telah ditipu kerana suspek gagal dihubungi malah akses ke aplikasi terbabit juga turut disekat,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Kumar berkata mangsa kemudian membuat laporan polis pada dan kerugian dianggarkan berjumlah RM1.8 juta.
“Kes disiasat di bawah kesalahan tipu menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda.
“Pada masa sama, Polis Kontinjen Johor menasihati orang ramai supaya lebih berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan menarik (dalam tempoh singkat),” katanya.
-- BERNAMA