KUCHING, 3 Mei (Bernama) -- Yang Dipertua Negeri of Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isterinya Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga wartawan veteran James Alexander Ritchie, yang meninggal dunia hari ini di Hospital Umum Sarawak.
Wan Junaidi menyifatkan James, yang lebih dikenali sebagai James Ritchie, sebagai seorang yang baik dan sahabat yang disayangi.
"Saya akan sentiasa mengingati dan menyimpan kenangan beliau sebagai anak kepada pesuruhjaya saya, sahabat dan penulis bersama buku kami.
"Beliau tidak lokek dengan kata-kata pujian untuk saya. Saya mengenali beliau sejak zaman persekolahannya di Sekolah Menengah St Thomas, Kuching," katanya dalam kenyataan.
Wan Junaidi mengimbas kembali hubungan awalnya dengan keluarga Ritchie ketika beliau berkhidmat sebagai Aide-de-Camp (ADC) kepada bapa James, Datuk Seri John Ritchie, Pesuruhjaya Polis Sarawak pada 1968.
"Namun saya tidak dilayan seperti seorang pegawai yang berkhidmat dengan pesuruhjaya tetapi sebagai ahli keluarga. Kami terus berkawan sehingga hari ini," katanya.
Gabenor Sarawak itu juga mendedahkan bahawa kedua-dua mereka dijadualkan untuk mengadakan pertemuan pada Isnin (5 Mei) untuk membincangkan perkembangan penulisan buku mengenainya oleh James.
"… tetapi Tuhan mempunyai rancangan lain untuknya. Kami mengucapkan takziah kepada ahli keluarga beliau dalam masa sukar ini. Semoga keluarganya dikelilingi kasih sayang dan sokongan ketika mereka melalui masa yang sukar ini dan semoga kenangan terindah orang tersayang membawa ketenangan dan kekuatan kepada mereka," katanya.
Pemergian James Ritchie, 75, disahkan oleh bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Datuk Seri Robert Jacob Ridu yang juga ahli keluarganya.
Mendiang yang memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 1971 dan berkhidmat dalam industri itu selama lima dekad, menerima Anugerah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 dalam sambutan yang diadakan di sini tahun lepas.
Anugerah itu disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mendiang kepada dunia kewartawanan Malaysia.
Bermula sebagai wartawan kadet Straits Times di ibu negara ketika berusia 23 tahun, mendiang perlahan-lahan ‘mendaki’ puncak kerjaya dalam industri kewartawanan, khususnya di Sarawak.
Beliau terlibat dalam pelbagai liputan berita berprofil tinggi antaranya mengenai serbuan Tentera Merah Jepun (JRA) ke atas Kedutaan Amerika di bangunan AIA di Kuala Lumpur, penangkapan “Master of Disguise” Lai See Kiaw serta penjenayah Wong Swee Chin atau dikenali sebagai Botak Chin.
Antara jawatan media pernah disandang beliau ialah sebagai wartawan New Straits Times Sarawak pada 1981, Pegawai Perhubungan Awam di Jabatan Ketua Menteri Sarawak (1998) dan Perunding Media untuk Sarawak Digest (2022).
Jawatan lain termasuk penulis khas Sarawak Tribune pada 2022, Penasihat Editorial dan Pengarah Eksekutif Eastern Times (2006) dan Pengarah Eksekutif New Sarawak Tribune (2010).
Jasa mendiang sebagai individu penting dalam dunia penulisan dan kewartawanan melayakkan beliau menerima pengiktirafan antaranya menerusi Anugerah Emas Shell Kenyalang, Anugerah Akhbar AZAM dan Anugerah Emas Ang Lai Soon.
-- BERNAMA