AM

PELAKSANAAN SISTEM TDAC THAILAND TERIMA REAKSI POSITIF PELANCONG MALAYSIA

03/05/2025 12:29 PM

Oleh Adnan Mohamad

PASIR MAS, 3 Mei (Bernama) -- Pelaksanaan Kad Ketibaan Digital Thailand (TDAC) yang diperkenalkan kerajaan Thailand bagi mempercepat proses kemasukan pelancong asing menerima pelbagai reaksi positif daripada pelancong Malaysia.

Kad digital itu yang mula dikuatkuasakan semalam (1 Mei 2025) menggantikan borang ketibaan fizikal yang sebelum ini diisi secara manual. 

Melalui sistem ini, pelancong dibenarkan mengisi maklumat secara dalam talian hingga tiga hari sebelum ketibaan sekali gus meningkatkan kecekapan proses imigresen.

Selain mempercepat urusan masuk, sistem ini juga memudahkan aspek pengesanan dan keselamatan pelawat sejajar dengan perkembangan teknologi digital semasa.

Tinjauan Bernama di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sungai Golok di Narathiwat, sempadan Malaysia-Thailand baru-baru ini, mendapati sistem TDAC telah digunakan oleh pelancong Malaysia yang memasuki wilayah berkenaan sejak Khamis lepas (1 Mei 2025).

Pelancong Siti Aishah Karim, 34, menyatakan rasa puas hati terhadap kemudahan yang ditawarkan menerusi sistem digital itu.

“Saya sangat teruja bila dapat tahu semuanya boleh dibuat secara digital. Saya isi maklumat dua hari sebelum bertolak ke Rantau Panjang, dan sebaik tiba di Sungai Golok, proses imigresen jadi sangat cepat,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Inisiatif itu menjimatkan masa dan lebih mesra pengguna berbanding pengisian borang manual sebelum ini.

Bagi Sharifah Zafirah Said Madri, 33, pula pelaksanaan TDAC dianggap sebagai satu perubahan besar yang memudahkannya berulang-alik ke Thailand, terutama bagi urusan perniagaan.

“Saya selalu ke Thailand atas urusan kerja. Dengan TDAC ini, saya boleh jimat banyak masa dan kurangkan risiko kesilapan semasa isi borang secara manual,” katanya.

Sharifah Zafirah turut berharap sistem ini dapat dikekalkan dan terus ditambah baik demi keselesaan pelancong yang kerap berulang-alik antara kedua-dua negara.

Sementara itu, pesara guru Siti Mariam Mohamed, 56, mengakui pada awalnya berasa ragu-ragu kerana tidak biasa dengan proses digital.

“Mula-mula susah sikit sebab tak biasa isi maklumat dalam telefon, tapi anak saya bantu dan bila sampai sini semuanya lancar,” katanya.

Beliau memuji inisiatif itu yang disifatkan sebagai langkah ke hadapan dalam meningkatkan keselamatan dan sistem perekodan pelancong.

Tinjauan turut mendapati kawasan sempadan masih aktif dengan kehadiran pelancong Malaysia, terutama ke daerah Narathiwat. 

Kesesakan turut dilihat pada waktu petang apabila ramai pelancong kembali semula ke Malaysia selepas selesai urusan atau lawatan singkat ke Thailand.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan