KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- CIMB Investment Bank Bhd berpendapat penangguhan tarif timbal balik selama 90 hari oleh Amerika Syarikat (AS) sebagai satu detik penting bagi Malaysia untuk kalibrasi semula strategi pertumbuhannya melalui integrasi serantau yang lebih kukuh dan pembaharuan ekonomi domestik.
Dalam nota penyelidikannya yang dikeluarkan hari ini, CIMB berkongsi pandangan daripada sesi perbincangan santai baru-baru ini dengan Pro Naib Canselor Universiti Taylor’s dan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Ong Kian Ming.
CIMB berkata perbincangan awal Malaysia dengan AS mengenai tarif timbal balik adalah memberangsangkan, walaupun masih terlalu awal untuk menilai hasilnya.
“Kelebihan rundingan Malaysia akan bergantung kepada apakah cadangannya jika dibandingkan dengan negara-negara jirannya.
“Indonesia mendapat kelebihan kerana awal mengemukakan cadangan dan diterima baik, manakala Thailand menghadapi halangan disebabkan penangguhan dalam perbincangan dua hala,” katanya.
Bank pelaburan itu turut menekankan kepentingan memanfaatkan sumber serantau dengan memperkukuh rantaian bekalan dan kerjasama serantau sebagai pemangkin kepada pertumbuhan yang berdaya tahan.
“Terdapat keperluan untuk meneruskan pembaharuan ekonomi seperti rasionalisasi subsidi petrol bagi mengukuhkan keyakinan pasaran dan menyokong penyatuan fiskal di tengah-tengah kejutan luaran.
“Pasaran kewangan mungkin belum sepenuhnya mengambil kira risiko penurunan jangka pendek terhadap ekonomi,” katanya.
CIMB berkata pendekatan tarif oleh AS sedang mengubah landskap perdagangan global, memaksa firma-firma Malaysia untuk menilai semula strategi mereka dan perniagaan perlu menilai kesan kos secara langsung dan tidak langsung.
“Kesan penggantian dan permintaan yang lebih lemah merupakan risiko utama, manakala permintaan luar yang perlahan daripada pasaran utama — disertai dengan kemungkinan lambakan import dari China — merupakan ancaman sekunder.
“Terdapat peluang di sebalik kekacauan ini dan kami menggesa firma-firma untuk meneroka pasaran baharu dan mempelbagaikan kehadiran di luar negara,” katanya.
CIMB juga menggesa kerajaan untuk memberi tumpuan kepada menarik pelaburan langsung asing serta memperkukuh usaha bagi menyokong pengembangan syarikat-syarikat Malaysia ke luar negara.
-- BERNAMA