DUNIA

WISMA PUTRA GESA RAKYAT MALAYSIA KEKAL BERWASPADA SUSULAN CUACA BURUK DI NEW ZEALAND

03/05/2025 11:18 AM

PUTRAJAYA, 3 Mei (Bernama) -- Kementerian Luar melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington sedang memantau rapat situasi selepas cuaca buruk melanda New Zealand, khususnya di wilayah Wellington dan Canterbury.

Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra mengesahkan bahawa tiada warganegara Malaysia dilaporkan cedera setakat ini.

“Rakyat Malaysia di New Zealand dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mendapatkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa tempatan serta mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu.

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington juga berhubung dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di kawasan terjejas,” menurut Wisma Putra dalam kenyataan pada Sabtu.

Kementerian Luar berkata rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington di 10 Washington Avenue, Brooklyn, PO Box 9422, Wellington atau melalui telefon di talian +64-4-3852439 / +64-210440188 (untuk kecemasan) atau e-mel di mwwellington@kln.gov.my.

Kerajaan New Zealand pada 2 Mei memaklumkan bahawa kebanyakan amaran cuaca buruk telah ditarik balik.

Pada Khamis, 1 Mei, Wellington dilanda angin kencang paling kuat dalam tempoh lebih sedekad, yang menyebabkan penutupan sekolah, pejabat dan pembatalan penerbangan.

Setakat ini, bandar Christchurch dan daerah Selwyn masih berada dalam keadaan darurat berikutan banjir berterusan dan penutupan jalan.

Lapangan Terbang Antarabangsa Wellington telah dibuka semula, namun beberapa penerbangan masih terganggu.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan