SEREMBAN, 2 Mei (Bernama) -- Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) akan memperluaskan rangkaian hab perniagaannya ke 13 negeri melalui kerjasama dengan Digital Entrepreneur Country Club (DECC).
Presiden PVATM Datuk Sharuddin Omar berkata pihaknya kini telah selesai mengenal pasti lokasi bagi projek pembangunan itu yang akan diwujudkan berhampiran cawangan PVATM di negeri terlibat dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada tahun hadapan.
“Hab pertama diwujudkan di Paroi di sini dengan perniagaan berasaskan ayam. Kita nak jaringan seperti ini di seluruh negara melalui rangkaian cawangan yang ada dan kita akan wujudkan hab sebagaimana di Paroi ini di negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak.
“Kita letakkan barangan basah dan kering di hab ini selain tempat proses (ayam) dan sebagainya...diharapkan struktur PVATM ini menjadi pemangkin dan pemudah cara kepada DECC,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Perniagaan Ayam PVATM Paroi di sini hari ini.
Beliau berkata selain pembelian secara fizikal, pihaknya turut membangunkan platform perniagaan melalui digital iaitu aplikasi Redsoga bagi memudahkan orang ramai mendapatkan produk PVATM dengan lebih cepat secara dalam talian.
“Aplikasi ini seperti platform e-dagang yang lain cuma konsepnya sedikit berbeza kerana kita ada hab di setiap cawangan, sebagai contoh apabila orang ramai pesan melalui Redsoga pada waktu pagi, petang itu juga barang boleh sampai sebab setiap negeri ada habnya sendiri,” katanya.
Sharuddin berkata pihaknya turut memperluaskan peranan Redsoga itu di peringkat ASEAN berikutan PVATM mempunyai kerjasama dengan beberapa negara ASEAN sekali gus memperkukuhkan produk daripada persatuan itu di persada antarabangsa.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata PVATM memandang positif cadangan Kementerian Pertahanan untuk menyusun semula persatuan membabitkan veteran angkatan tentera bagi memastikan keberkesanan persatuan itu.
“Sebagai badan bukan kerajaan yang mempunyai struktur dan ahli yang ramai kita sambut baik apa jua saranan untuk tingkatkan ekonomi, kalau niatnya untuk mudahkan bantuan dan sokongan...namun mereka yang bertanggungjawab perlu berikan kaedah bagaimana ia dapat dilaksanakan,” katanya.
Semalam, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata cadangan itu supaya persatuan yang diwujudkan benar-benar memenuhi kehendak ahli dan pandangan mengenai hal veteran dapat dibawa secara bersepadu.
Mohamed Khaled berkata setakat ini terdapat 122 persatuan membabitkan veteran angkatan tentera dan ada sesetengah persatuan tersebut tidak aktif serta memiliki jumlah keahlian yang terlalu kecil.
-- BERNAMA