JENAYAH & MAHKAMAH

LELAKI CEDERA DISERANG BUAYA KETIKA JALA IKAN

01/05/2025 04:20 PM

BANDAR PERMAISURI, 1 Mei (Bernama) -- Seorang lelaki cedera pada lengan kanan dan jari tangan kiri akibat diserang seekor buaya ketika menjala ikan di tasik di Kampung Jelapang, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Setiu Supt Mohd Zain Mat Deris berkata kejadian menimpa mangsa, Ahmad Khalid Ya, 50, berlaku kira-kira 5.30 petang.

“Mangsa yang merupakan penduduk kampung berkenaan menjala bersama dua ahli keluarganya.

“Mangsa tiba-tiba diserang seekor buaya dan dalam keadaan sedar, mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata reptilia berkenaan berjaya ditangkap anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dibantu penduduk kampung pada hari sama.

--BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan