PUTRAJAYA, 24 April (Bernama) -- Golongan lelaki yang mengalami tekanan emosi atau masalah mental hingga berkelakuan negatif terhadap orang sekeliling digalakkan mendapat bantuan profesional tanpa rasa malu atau takut.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata ramai golongan itu segan untuk tampil ke hadapan dan berkongsi masalah apabila berdepan cabaran emosi sedangkan perkhidmatan kaunseling yang disediakan adalah sulit dan selamat.
“Kita pastikan ia sulit jika mereka hubungi talian 15999 (Talian Kasih). Selain itu, kita juga ada Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) yang menawarkan khidmat psikososial kepada mereka yang memerlukan.
“Tak ada alasan untuk mereka (golongan lelaki) malu. Kita memang galakkan mereka untuk mendapatkan bantuan, kita minta mereka bercakap, kadang-kadang melukis dan dari situ dapat diketahui perasaan atau situasi yang sedang dihadapi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa untuk Memperkasakan Kepimpinan Inklusif Wanita (ICEWIL) di sini hari ini.
--BERNAMA