KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Pemegang lesen bagi kategori kilang pemproses dan pedagang getah diwajibkan untuk menggunakan sistem MSNR Trace dalam melaporkan urus niaga getah asli, berkuat kuasa 5 Mei ini, kata Lembaga Getah Malaysia (LGM).
LGM dalam kenyataan media berkata tindakan penguatkuasaan boleh dikenakan sekiranya pemegang lesen gagal menggunakan sistem MSNR Trace iaitu denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Sistem MSNR Trace merupakan platform digital untuk kebolehjejakan rantaian bekalan getah asli serta memastikan ketelusan dan kemampanan dalam pengeluaran getah.
"Sistem ini merangkumi integrasi beberapa platform digital LGM iaitu PAT-G, RRIM Geo Rubber, RRIMniaga, RRIMestet dan MyLesen.
"Ia memainkan peranan penting dalam menangani isu alam sekitar dan sosial dalam industri dengan membenarkan pihak berkepentingan menjejaki transaksi getah mentah dari ladang ke produk akhir," katanya.
Pada masa sama, LGM juga giat menjalankan operasi besar-besaran bagi memastikan peniaga getah berlesen LGM yang membeli getah daripada pekebun kecil menggunakan aplikasi RRIMniaga yang telah dikuatkuasakan sejak tahun 2021.
"Tindakan pembatalan lesen akan dilaksanakan bagi mana-mana pemegang lesen LGM yang masih ingkar mematuhi syarat lesen yang telah berkuatkuasa," katanya.
-- BERNAMA