EKONOMI

PENGELUARAN GETAH ASLI MALAYSIA NAIK 18.7 PERATUS PADA FEBRUARI 2025 - JABATAN PERANGKAAN

14/04/2025 02:55 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Pengeluaran getah asli Malaysia naik 18.7 peratus kepada 30,005 tan metrik pada Februari 2025 berbanding 30,342 tan pada Januari 2025, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). 

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata perbandingan tahun ke tahun pengeluaran getah asli meningkat sebanyak 21.3 peratus berbanding 29,691 tan metrik pada Februari 2024, pekebun kecil menyumbang 87.8 peratus berbanding 12.2 peratus daripada sektor estet.

“Jumlah stok getah asli pada Februari 2025 menokok 16.2 peratus kepada 206,762 tan metrik berbanding 177,935 tan metrik pada Januari 2025. Kilang pemproses getah menyumbang 88.2 peratus daripada stok diikuti kilang pengguna getah (11.7 peratus) dan estet getah (0.1 peratus), katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata eksport getah asli Malaysia berjumlah 54,847 tan metrik pada Februari 2025, melonjak 23.7 peratus daripada 44,338 tan pada Januari 2025, disokong oleh produk berasaskan NR seperti sarung tangan, tayar, tiub dan benang getah.

“China kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli berjumlah 52.4 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Februari 2025 diikuti Jerman (9.0 peratus), Emiriah Arab Bersatu (8.4 peratus), Amerika Syarikat (4.8 peratus) dan Brazil (3.0 peratus).

"Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama bernilai RM1.2 bilion pada Februari 2025, menambah 11.8 peratus berbanding RM1.4 bilion pada Januari 2025," katanya.

Selain itu, DOSM berkata harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat menokok 2.2 peratus kepada 693.13 sen sekilogram pada Februari 2025 berbanding 678.42 sen sekilogram pada Januari manakala getah sekerap naik 3.7 peratus kepada 770.44 sen sekilogram berbanding 743.27 sen sekilogram sebelumnya.

Ia berkata trend harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (GMM) pula meningkat antara 2.1 peratus dan 3.3 peratus.

Dalam pada itu, World Bank Commodity Price Data melaporkan harga bagi getah jenis Technically Specified Rubber (TSR 20) naik 3.7 peratus kepada US$2.01 sekilogram (US$1=RM4.41) daripada US$1.93 sekilogram, manakala Singapura/Malaysia meningkat 1.5 peratus (daripada US$2.37 sekilogram kepada US$2.41 sekilogram), kata DOSM.

Menurut Malaysia Rubber Board Digest keluaran Februari 2025, pasaran getah Kuala Lumpur bergerak dalam trend bercampur-campur seiring dengan pasaran niaga hadapan getah serantau disebabkan oleh ketidaktentuan mengenai tarif perdagangan Amerika Syarikat (AS), hala tuju dasar monetari AS dan hubungan perdagangan AS dengan China.

Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, DOSM akan mempengerusikan Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN Ke-15 (ACSS15) bertujuan untuk memperkukuh kerjasama statistik ke arah pembangunan serantau yang mampan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan