KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Negara Selatan Global perlu merintis haluan baharu dan tampil sebagai peneraju dalam membentuk semula kerjasama antarabangsa memandangkan kestabilan dan keselamatan ekonomi dunia kini semakin terjejas akibat sistem antarabangsa sedia ada, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Berucap pada Mesyuarat Menteri Luar Rakan BRICS 2025 di Rio de Janeiro, Brazil pada Selasa, beliau berkata gelombang tarif yang mengejutkan masyarakat global bukan sekadar ancaman, sebaliknya satu pendedahan dan juga peluang.
Beliau berkata Selatan Global secara kolektif kini semakin menjadi aktor utama dalam penyusunan semula landskap global dan tidak boleh terus berpuas hati dengan peranan pasif dalam proses membuat keputusan dunia.
“Ini adalah peluang untuk membentuk semula kerjasama antarabangsa dengan cara yang mencerminkan kekuatan kita dan lebih memenuhi keperluan kita.
“Kita mesti bersikap proaktif, berpandangan jauh dan bersatu dalam membentuk sebuah sistem dunia yang adil dan berasaskan kerjasama. Malaysia bersedia bekerjasama dengan BRICS dan semua rakan yang berkongsi visi ini,” katanya ketika menyampaikan kenyataan negara pada sesi khas bertemakan “Peranan Selatan Global dalam Memperkukuh Multilateralisme” semasa mesyuarat itu.
Merujuk ASEAN sebagai ekonomi kelima terbesar dunia dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah US$3.8 trilion, beliau berkata rantau ini menawarkan kuasa beli yang signifikan, prestasi eksport yang kukuh dan pendekatan diplomasi yang terbuka.
Mohamad berkata selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia sedang memimpin rantau ini ke arah perpaduan, penyepaduan ekonomi dan kepelbagaian strategik selaras dengan peranan serantaunya yang semakin meningkat.
“Menerusi komitmen kepada seni bina serantau yang terbuka, berasaskan peraturan dan inklusif, ASEAN memberi tumpuan kepada pengukuhan perdagangan antara wilayah, pembangunan rantaian bekalan yang berdaya tahan serta penerokaan industri baharu yang berteraskan kelestarian dan inovasi,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa BRICS juga merupakan pemangkin kepada ketahanan ekonomi, keseimbangan politik dan kemajuan sosial.
“Bersama-sama, kita berupaya membentuk semula landskap kerjasama antarabangsa - bukan sekadar sebagai pengkritik kepada sistem lama, tetapi sebagai arkitek kepada sistem yang lebih adil,” katanya.
Mohamad turut menyatakan sokongan Malaysia terhadap kepimpinan Brazil selaku Pengerusi BRICS tahun ini serta keutamaan yang digariskan, yang disifatkannya sebagai tepat pada masanya dan penting.
Mengenai perubahan iklim, beliau berkata negara Selatan Global mesti memimpin peralihan tenaga secara adil, sambil menggesa agar pembiayaan iklim yang ditawarkan bersifat mudah diakses, mampu milik dan disesuaikan dengan keperluan negara membangun.
Beliau turut mencadangkan kerjasama yang lebih mendalam dalam kalangan anggota BRICS dan negara lain dalam bidang pertanian pintar iklim, pengurusan air serta teknologi seperti penangkapan karbon dan inovasi pelepasan rendah.
Mengenai kesihatan global, Mohamad berkata Malaysia bersedia bekerjasama dengan BRICS untuk memperkukuh sistem penjagaan kesihatan, berkongsi kepakaran dan mempromosikan penyelesaian yang mampan dan inklusif menerusi model pembiayaan hibrid awam-swasta yang menjamin keterjangkauan serta kemampanan.
Beliau turut menekankan keperluan pelaburan dalam infrastruktur digital, serta peningkatan celik digital dan perdagangan digital rentas sempadan dalam kalangan negara Selatan Global bagi memanfaatkan potensi ekonomi digital.
Mengenai kecerdasan buatan (AI), Mohamad berkata Malaysia menyeru kepada tadbir urus AI yang bertanggungjawab dan inklusif.
“Kami mengalu-alukan kerjasama BRICS dengan Malaysia dalam penggunaan AI yang beretika, kesaksamaan data dan pembangunan kemahiran - bagi memastikan AI memperkasa semua negara,” katanya.
-- BERNAMA