KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Malaysia menjadi tuan rumah Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) dan Mesyuarat Berkaitan pada Selasa (29 April) di Kuala Lumpur, menurut Kementerian Luar.
Tiga mesyuarat peringkat SOM diadakan iaitu Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN, Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ Excom), dan Mesyuarat Kumpulan Kerja Majlis Penyelarasan ASEAN ke-18 mengenai Permohonan Keanggotaan ASEAN oleh Timor-Leste (ACCWG-TL).
Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin, atas kapasitinya selaku Pegawai Kanan ASEAN-Malaysia.
“Sebagai blok serantau yang mengekalkan kerjasama dalam kepentingan bersama, semua perbincangan pada mesyuarat SOM ASEAN tertumpu pada memastikan pendekatan komprehensif dan berpandangan ke hadapan untuk rantau ASEAN yang lebih makmur, aman dan selamat.
“Mesyuarat SOM membincangkan usaha ASEAN ke arah memperkukuh pembinaan Komuniti ASEAN, termasuk Visi Komuniti ASEAN 2045, yang akan diterima pakai pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada 26 Mei 2025,” menurut kementerian itu, yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra, dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sehubungan itu, Wisma Putra menyatakan bahawa SOM telah memberikan penghargaan kepada Pasukan Petugas Peringkat Tinggi dalam memuktamadkan Visi Komuniti ASEAN 2045 dan pelan strategik politik-keselamatan, ekonomi, sosiobudaya dan kesalinghubungan.
Mesyuarat ini turut membincangkan progres implementasi Pelan Hala tuju Kemasukan Timor-Leste ke ASEAN, permohonan negara luar ke dalam Triti Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) dan hubungan luar ASEAN.
ACCWG-TL memberi tumpuan kepada usaha berterusan ASEAN untuk mempercepatkan keanggotaan penuh Timor-Leste ke dalam ASEAN.
Perbincangan menilai kemajuan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Keanggotaan Timor-Leste, memperkukuh inisiatif pembangunan kapasiti untuk pegawai Timor-Leste, serta menyokong penubuhan Unit Timor-Leste di Sekretariat ASEAN.
“Malaysia kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan Negara Anggota ASEAN dan Timor-Leste bagi melancarkan lagi proses penyertaan dalam memupuk perpaduan dan integrasi serantau,” kata Wisma Putra.
Sementara itu, mesyuarat SOM dan SEANWFZ Excom melibatkan penyertaan pegawai kanan dari Negara Anggota ASEAN.
Mesyuarat SEANWFZ Excom memberi fokus kepada usaha berterusan ASEAN dalam memajukan agenda perlucutan senjata di peringkat global, termasuk matlamat jangka panjang untuk memastikan penyertaan Negara Pemilik Senjata Nuklear kepada Protokol SEANWFZ, sekali gus memperkukuhkan kedudukan undang-undang Perjanjian ini serta kepimpinan ASEAN dalam mempromosikan rantau yang bebas senjata nuklear.
-- BERNAMA