AM

SPRM, KPK PERERAT KERJASAMA DALAM PERTEMUAN DUA HALA

29/04/2025 10:20 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengadakan pertemuan bilateral bersama Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) Indonesia di Jakarta baru-baru ini, bagi memperkukuh hubungan dua hala antara dua pihak.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan dalam pertemuan yang diadakan sempena kunjungan SPRM ke KPK pada 22 hingga 24 April itu, kedua-dua pihak telah bertukar-tukar pandangan serta merangka strategi untuk mengerat kerjasama, khususnya dalam sektor operasi yang melibatkan perkongsian data, maklumat dan amalan terbaik antara agensi.

Delegasi SPRM diketuai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, manakala delegasi KPK diketuai Wakil Ketua KPK Agus Joko Pramono.

Kenyataan itu memaklumkan semasa pertemuan itu, Ahmad Khusairi menekankan  kerjasama dua hala ini penting dalam usaha membanteras rasuah rentas sempadan, khususnya membabitkan pelbagai perkara termasuk pertukaran maklumat.

“Delegasi SPRM dan KPK secara dasarnya bersetuju bahawa kerjasama ini perlu diadakan secara berterusan dan konsisten, dalam usaha menangani jenayah rasuah masa kini yang semakin kompleks serta merentasi sempadan negara,” katanya.

Sementara itu, Agus Joko Pramono turut menegaskan pentingnya kerjasama rentas negara agar sesuatu kes siasatan dapat dijalankan dengan berkesan, khususnya mengenal pasti modus operandi dan jenayah penggubahan wang haram yang semakin canggih.

Beliau berkata hasil pertemuan itu, delegasi SPRM dan KPK secara dasarnya bersetuju bahawa kerjasama ini perlu diadakan secara berterusan dan konsisten, dalam usaha menangani jenayah rasuah masa kini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM Norhaizam Muhammad, Pengarah Bahagian Analisa Kewangan SPRM Mohd Azwan Ramli, Timbalan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Yuhafiz Mohd Salleh dan Timbalan Pengarah Bahagian Perisikan SPRM Mohamed Reemos Khan Fajarul Rahman.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan