AM

NOOR AEIZA DILANTIK KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF YAYASAN BANK RAKYAT

29/04/2025 09:52 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Bank Rakyat mengumumkan pelantikan Noor Aeiza Hassan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bank Rakyat yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Bank Rakyat dalam kenyataan memaklumkan pelantikan itu adalah sebahagian usaha berterusan bagi memperkukuh fungsi dan peranan yang dimainkan Bank Rakyat untuk kepentingan dan kebajikan anggota serta masyarakat umum.

“Noor Aeiza merupakan lulusan sumber manusia dalam bidang psikologi dari Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau mempunyai pengalaman selama lebih 14 tahun di peringkat pengurusan dalam industri komunikasi serta industri latihan pembangunan keusahawanan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Bank Rakyat memaklumkan Noor Aeiza yang berpengalaman luas diyakini mampu mengemudi yayasan berkenaan dengan sebaik-baiknya.

“Keyakinan ini merangkumi komitmen Yayasan Bank Rakyat dalam membantu masyarakat yang memerlukan, khususnya bagi meningkatkan sosioekonomi melalui pendidikan serta membantu membangunkan modal insan selaras dengan konsep Malaysia MADANI,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan