AM

PENGAMAL MEDIA PERLU BERANI MANFAATKAN AI, ELAK LANGGAR ETIKA

29/04/2025 10:24 PM

KUCHING, 29 April (Bernama) -- Pengamal media di Malaysia perlu berani untuk terus menguasai pelbagai teknologi kecerdasan buatan (AI), dalam menghasilkan berita yang berkualiti tinggi.

Wartawan penyiaran CATS FM Irfan Nasrullah Jafli berkata seiring dengan perkembangan dan teknologi semasa, wartawan juga perlu berkembang dari segi kemahiran dan pengetahuannya, untuk beradaptasi dengan teknologi AI dalam urusan kerja.

“Ia banyak membantu. Sekurang-kurangnya ia boleh memudahkan kerja kita dan menjadikan kerja kita lebih efisien.

“Namun begitu, jangan bergantung sepenuhnya kerana akhirnya ia hanya sekadar alat, jadi kita sendiri yang perlu memastikan penulisan yang kita buat ada jiwa, untuk disampaikan kepada pembaca,” katanya ditemui pada program latihan teknologi AI bertajuk AI For Journalism: Transcription & Smart Tools anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini, hari ini.

Program dua hari bermula semalam di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) itu, melibatkan penyertaan 30 pengamal media dari pelbagai agensi di Sarawak.

Sementara itu pegawai tadbir Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Wilma Stanley Geramong berkata kursus tersebut, memberikan pendedahan jelas penggunaan AI yang bukan sahaja membantu wartawan menulis berita secara pantas di lapangan, malah menjadi medium memudahkan aspek penyelidikan dan pengumpulan maklumat yang sahih.

“Saya percaya etika sangat penting dalam penggunaan AI, supaya teknologi ini tidak disalahgunakan untuk menyebarkan maklumat palsu atau manipulasi berita.

“Wartawan perlu memastikan AI digunakan secara bertanggungjawab, dengan sentiasa memeriksa fakta dan menjaga integriti laporan,” katanya.

Turut senada, wartawan AWANI Borneo Fadilah Sulaiman yang menyatakan bahawa pengamal media sepatutnya memahami dan menggunakan AI sebagai alat pelengkap untuk meningkatkan kualiti dan kredibiliti laporan mereka. 

Beliau berkata cabaran seperti memastikan ketepatan maklumat dan etika penggunaannya, masih wujud. 

“Nasihat saya kepada wartawan yang belum menggunakan AI ialah supaya mereka mula memahami asas teknologi ini dan menggunakannya sebagai alat pelengkap, bukan pengganti bagi memperkukuh lagi kredibiliti dan kualiti laporan,” katanya.

Pusat Kecemerlangan Bernama merupakan penyelaras kursus AI untuk media di bawah peruntukan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025. Program latihan sama akan diadakan di Sabah pada 6 dan 7 Mei depan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan