AM

AHMAD ZAHID UCAP SELAMAT TUNAI IBADAH HAJI KEPADA JEMAAH MALAYSIA

29/04/2025 07:37 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini merakamkan ucapan tahniah dan selamat berangkat menunaikan ibadah haji kepada seluruh jemaah Malaysia yang berlepas ke Tanah Suci tahun ini.

Menerusi catatan di Facebook hari ini, Ahmad Zahid berkata jemaah haji Malaysia telah mula berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan rukun Islam kelima itu bermula hari ini secara berperingkat.

"Saya mendoakan agar semua jemaah dikurniakan kesihatan yang baik, dipermudah segala urusan, serta mendapat bimbingan dan perlindungan Allah SWT sepanjang berada di Tanah Suci. Semoga ibadah yang dilaksanakan diterima dan dikurniakan haji yang mabrur, insya-Allah.

"Selamat menunaikan rukun Islam kelima. Kami di tanah air sentiasa mendoakan kesejahteraan dan keselamatan sepanjang perjalanan suci ini," katanya.

Kumpulan pertama 284 jemaah haji Malaysia berlepas ke Tanah Suci kira-kira 4 pagi tadi dengan penerbangan Malaysia Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). 

Sebanyak 100 penerbangan sewa khas menerusi syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines disediakan untuk membawa 31,600 jemaah haji ke Tanah Suci bagi musim haji 1446H/2025.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan