AM

PRESIDEN MALDIVES MELAWAT MENARA BERKEMBAR PETRONAS

29/04/2025 12:34 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Presiden Maldives Dr Mohamed Muizzu yang sedang dalam lawatan rasmi empat hari ke Malaysia, hari ini melawat bangunan ikonik Menara Berkembar Petronas di sini.

Muizzu dan delegasinya tiba pada 9.30 pagi dan disambut oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad serta Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management Petronas Datuk Bacho Pilong.

Beliau meluangkan masa lebih satu jam melawat Skybridge KLCC iaitu jambatan udara yang menghubungkan Menara 1 dan 2, serta dek pemerhatian yang menjadi tarikan pelancong di menara berkembar itu.

Presiden Maldives turut diberikan taklimat mengenai sejarah seni bina menara berkembar tertinggi di dunia itu oleh Pengurus Perkhidmatan Pengurusan Lawatan Menara Berkembar Petronas Safful Bahari Din.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Muizzu menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) dan dua Pertukaran Nota (EoN) bertujuan memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang demi manfaat bersama.

Muizzu tiba di Malaysia pada Ahad atas jemputan Perdana Menteri, yang merupakan lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia sejak beliau memegang jawatan Presiden Maldives pada November 2023.

Pada 2024, jumlah dagangan Malaysia dan Maldives mencatatkan peningkatan 4.3 peratus dengan jumlah RM862.7 juta (US$180.9 juta) berbanding RM827.3 juta (US$180.9 juta) pada 2023, menjadikan negara kepulauan itu sebagai rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Selatan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan