KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan bahawa kepimpinan mahasiswa perlu dibentuk melalui karakter berintegriti, kemahiran komunikasi mantap serta keupayaan membuat keputusan berdasarkan maklumat yang sahih.
Beliau berkata demikian dalam sesi libat urus bersama pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sempena Program Pemukiman Siswa dan Latihan Kepimpinan Muda Kebangsaan (KARISMA) MPP Institut Pengajian Tinggi (IPT) 2025 di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Negeri Sembilan, hari ini.
Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Zambry turut menyeru mahasiswa memahami konsep "Informed Decision", iaitu membuat keputusan berpandukan fakta dan penilaian rasional, bukan dipengaruhi sentimen media sosial.
Dalam konteks pemerkasaan pendidikan, beliau turut menekankan keperluan membuka lebih banyak laluan akademik dari politeknik dan kolej komuniti ke universiti bagi memperkukuh institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Beliau juga memberi perhatian terhadap isu kebajikan pelajar B40, termasuk mencadangkan penggunaan geran khas untuk memperkukuh inisiatif seperti Bank Makanan di IPT serta penambahbaikan elaun latihan industri dan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP),” menurut kenyataan itu.
Program KARISMA MPP IPT 2025 yang berlangsung selama empat hari bermula Jumaat lepas menghimpunkan 110 pemimpin mahasiswa dari seluruh negara.
KPT memaklumkan pihaknya komited melaksanakan program pembangunan bakat seperti KARISMA demi melahirkan pelapis kepimpinan berkualiti tinggi selaras aspirasi Malaysia MADANI.
Program anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi dengan kerjasama AKEPT dan Akademi Kenegaraan itu mengetengahkan pendekatan latihan secara hands-on, minds-on dan hearts-on yang menekankan pembangunan karakter, integriti dan jaringan kepimpinan nasional dalam kalangan mahasiswa.
-- BERNAMA