JENAYAH & MAHKAMAH

PENDAKWAAN TUTUP KES, KEPUTUSAN YUSOFF RAWTHER BEBAS ATAU BELA DIRI PADA 12 JUN

28/04/2025 08:01 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 12 Jun ini untuk keputusan sama ada bekas pembantu penyelidik seorang ahli politik Muhammed Yusoff Rawther dibebaskan atau diperintah membela diri atas pertuduhan pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pucuk pistol tiruan.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman memaklumkan pihak pendakwaan menutup kes hari ini selepas memanggil 13 saksi sepanjang perbicaraan yang bermula pada 7 April lepas.

"Pihak-pihak perlu memfailkan hujahan bertulis pada atau sebelum 13 Mei ini dan mahkamah menetapkan 12 Jun untuk keputusan," kata hakim itu.

Terdahulu, Mohd Sabri memaklumkan kepada mahkamah bahawa saksi terakhir adalah Pegawai Penyiasat, Inspektor (Insp) Muhammad Zuhairi Md Zuhir, 36, daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Pendakwaan turut menawarkan tujuh saksi kepada pihak pembelaan sekiranya tertuduh diperintah membela diri nanti.

Antara saksi yang dipanggil pihak pendakwaan ialah Pegawai Penyiasat, Insp Wan Muhammad Wan Ali daripada Bahagian Risikan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL), ahli kimia Harlisa Haidhir Harminder daripada Jabatan Kimia Malaysia dan beberapa anggota polis.

Sementara itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammed Yusoff berkata pihak pembelaan akan menemu bual tujuh saksi yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan.

Pada prosiding hari ini, Muhammad Zuhairi memberitahu mahkamah bahawa polis menemui satu ketulan disyaki ganja dalam sebuah kenderaan jenis Nissan Teana milik Muhammed Yusoff semasa pemeriksaan dilakukan di hadapan surau IPK KL, tahun lepas.

Saksi itu berkata pada awalnya pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut dilakukan untuk mencari peluru bagi pistol yang telah dijumpai terlebih dahulu, namun pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan dadah berkenaan.

"Hasil siasatan saya mendapati tiada maklumat berkaitan dadah yang diterima oleh pengadu (Insp Wan Muhammad) mahupun mengenai kenderaan yang dinaiki tertuduh. Dadah tersebut dijumpai setelah pemeriksaan lanjut dilakukan oleh pengadu di kawasan tempat letak kereta hadapan surau IPK KL," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shahrizzat Amadan.

Muhammed Yusoff didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dalam kenderaan yang dinaikinya di hadapan surau IPKKL pada 10.15 pagi, 6 Sept tahun lepas.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa atas pertuduhan memiliki dua pucuk pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini pada 9.25 pagi, 6 Sept 2024.

Pertuduhan dikemukan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan