KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Daya tahan makroekonomi dan kestabilan politik merupakan kekuatan utama bagi Malaysia dalam mengharungi persekitaran ekonomi global yang tidak menentu di tengah-tengah peralihan dasar Amerika Syarikat (AS), menurut RHB Investment Bank Bhd.
Bank pelaburan itu dalam nota penyelidikannya hari ini berkata inisiatif pertumbuhan strategik Malaysia akan merangsang aliran pelaburan dalam jangka sederhana, tetapi ia tetap berhati-hati terhadap kesan limpahan negatif daripada isu-isu perdagangan global.
"Inisiatif pertumbuhan progresif yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan akan mengukuhkan keupayaan Malaysia untuk menarik pelaburan asing dari atau sekitar rantau ini, memacu pelaburan domestik dan meningkatkan daya tahan ekonomi.
"Malaysia menyerlah berbanding rakan-rakan pasaran baru muncul ASEAN yang lain dari segi kestabilan politik dan asas pertumbuhan makroekonomi," katanya.
Menurut RHB Investment, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia untuk 2025 kini berada pada 4.5 peratus tahun ke tahun (y-o-y) berikutan faktor-faktor ketidaktentuan luaran.
"Walaupun kami percaya tarif AS yang dikenakan adalah bersifat transaksional – membuka ruang untuk rundingan – ketidaktentuan tetap akan membuat pelabur berjaga-jaga," katanya.
Sementara itu, RHB Investment Bank telah mengurangkan sasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) untuk penghujung 2025 kepada 1,650 mata daripada sasaran sebelumnya iaitu 1,750 mata selepas sasaran nisbah harga kepada pendapatan (P/E) direndahkan kepada purata jangka panjang sebanyak 14.7 kali daripada 16 kali.
Pasaran telah mengukuh lebih lanjut dengan penilaian kini pada tahap yang lebih rendah, katanya.
“Mengekalkan pendekatan bertahan dalam portfolio ekuiti akan menjadi tumpuan strategik utama untuk mengekalkan pegangan tunai yang lebih tinggi dalam jangka pendek, tetapi mengumpul saham berkualiti yang berfokuskan domestik secara selektif ketika pasaran lemah juga merupakan objektif penting dalam jangka sederhana,” katanya.
Dalam jangka pendek, bank pelaburan itu percaya bahawa minat pelabur kekal cenderung kepada saham bermodal besar disebabkan oleh penilaian yang lebih rendah daripada purata dan kecairan yang lebih baik, yang menarik dalam persekitaran luaran yang tidak menentu ketika ini.
"Melihat kepada prospek ini, kami mengesyorkan supaya pelabur mengamalkan strategi berperingkat -- pelabur seharusnya memberi tumpuan terlebih dahulu kepada saham bermodal sederhana, yang menawarkan profil ganjaran risiko yang lebih seimbang," tambahnya.
Menurut RHB Investment, apabila pasaran mula stabil dan ketidaktentuan luaran berkurangan, peralihan secara beransur-ansur ke arah saham bermodal kecil boleh membuka peluang pulangan yang lebih sekiranya pemulihan itu berterusan.
“Kecairan di pasaran tempatan yang mencukupi, penggunaan domestik yang stabil dengan agenda pembaharuan kekal menyokong pasaran ekuiti Malaysia,” tambahnya.
-- BERNAMA