AM

PREMIER SARAWAK KETUAI LAWATAN KE UK BAGI MENGUKUHKAN KERJASAMA INDUSTRI SEMIKONDUKTOR

27/04/2025 03:29 PM

KUCHING, 27 April (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, akan mengetuai delegasi kerajaan negeri melawat Pusat Inovasi CSA Catapult di Newport, United Kingdom (UK) sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan kerjasama dalam pembangunan semikonduktor antara UK dan Sarawak.

Kenyataan Pejabat Premier Negeri memaklumkan bahawa lawatan ke pusat inovasi tersebut pada Selasa, 29 April akan menyaksikan Kerajaan Sarawak, melalui SMD Semiconductor Sdn Bhd, menandatangani dokumen perjanjian kerjasama dengan CSA Catapult, Silicon Catalyst dan 5G3i Ltd dari UK.

“CSA Catapult adalah pihak berkuasa UK dalam aplikasi semikonduktor sebatian dan pengkomersialan semikonduktor, manakala Silicon Catalyst adalah inkubator semikonduktor utama, dan 5G3i Ltd adalah penyedia penyelesaian kecerdasan buatan tahap litar yang terkemuka di UK,” katanya.

Pengerusi SMD Semiconductor Datuk Seri Wanlizozman Haji Wan Omar, yang juga Setiausaha Kewangan Sarawak, akan menyampaikan taklimat mengenai Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030 kepada pemain industri semikonduktor UK semasa lawatan itu.

“Lawatan ke kemudahan itu akan diakhiri dengan majlis makan tengah hari rangkaian bersama wakil-wakil dari kerajaan Inggeris, Scotland dan Ireland Utara untuk memperkukuhkan hubungan, terutamanya dalam kemajuan semikonduktor sebatian,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa delegasi Abang Johari dijadualkan melawat Cambridge University Press and Assessment, sebuah institusi bukan sekolah di bawah Universiti Cambridge, pada 30 April, sebelum menghadiri perbincangan meja bulat dengan London School of Economics and Political Science (LSE) pada 1 Mei.

Pada penghujung perbincangan tersebut, satu majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara LSE dan Kerajaan Sarawak akan diadakan.

Kemudian, pada hari yang sama, Abang Johari dijadualkan bertemu pegawai dari International Hydropower Association dan Global Renewable Alliances untuk memperkukuh kerjasama dengan Sarawak, sebagai penyedia utama tenaga hidro di ASEAN.

Abang Johari juga akan menyampaikan ucaptama pada pertemuan dengan pemain industri UK pada 2 Mei, bertujuan mempromosikan kerjasama dan pelaburan dalam industri lestari dan boleh diperbaharui di Sarawak.

Pada 3 Mei, beliau akan bertemu dengan pelajar Sarawak di UK untuk membincangkan inisiatif pembangunan Sarawak dan menjawab soalan daripada mereka.

Delegasi ini akan berlepas ke Toulouse, Perancis, pada 4 Mei untuk lawatan kerja ke ibu pejabat Airbus, sebelum menuju ke Abu Dhabi di Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk pertemuan dengan pihak berkuasa pelabuhan Abu Dhabi serta lawatan ke pelabuhan dan Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Setiausaha Negeri Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, dan beberapa menteri serta timbalan menteri negeri turut serta dalam lawatan kerja ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan