AM

LEBIH 2,000 MURID TABIKA PERPADUAN ALAMI MASALAH BANTUT - JPNIN

27/04/2025 03:22 PM

TUMPAT, 27 April (Bernama) -- Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) merekodkan sejumlah 2,427 murid Tabika Perpaduan mengalami masalah bantut dan bantut teruk setakat Mac tahun ini.

Ketua Pengarah JPNIN Datuk Che Roslan Che Daud berkata selain itu, sebanyak 72 kanak-kanak Taska Perpaduan turut dikesan mengalami masalah yang sama.

“Bagi mengatasi masalah ini, JPNIN mengambil beberapa inisiatif termasuk melaksanakan program kesedaran, menyediakan menu makanan berkhasiat di Tabika dan Taska Perpaduan dengan kelulusan Jabatan Kesihatan Negeri, serta memastikan makanan disediakan oleh guru dan pendidik mengikut kreativiti untuk menarik minat kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Pelancaran Menu Sihat Perpaduan Serentak Seluruh Negara Tahun 2025 di Pusat Aktiviti Perpaduan Tumpat, di sini hari ini.

Che Roslan berkata inisiatif itu penting kerana pemakanan merupakan komponen utama dalam memastikan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak secara optimum.

“Amalan pemakanan sihat yang diterapkan sejak usia muda akan mempengaruhi corak pemakanan serta tahap kesihatan mereka apabila dewasa kelak,” katanya.

Beliau berkata atas kesedaran itu, JPNIN mengambil langkah melaksanakan Program Menu Sihat Perpaduan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya ibu bapa, mengenai kepentingan pemakanan sihat kepada anak-anak.

“Pelaksanaan program ini melibatkan guru, penolong guru, pendidik, pembantu pendidik, ibu bapa, Jawatankuasa Penyelaras Tabika dan Taska Perpaduan serta masyarakat setempat,” katanya.

Menurut beliau, program ini turut dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri masing-masing, dan pelbagai pengisian telah dirangka bagi memastikan amalan pemakanan sihat dapat diterapkan secara konsisten sejak awal usia.

“Program ini tidak akan berjaya jika hanya bergantung pada guru dan pendidik di tabika dan taska. Ibu bapa perlu menjadi ejen perubahan sebenar dalam memastikan kejayaan program ini,” katanya.

Che Roslan berkata masalah pembantutan merupakan satu cabaran besar kerana ia boleh memberi kesan terhadap prestasi akademik, kebolehpasaran pekerjaan, malah turut mempengaruhi kekuatan ekonomi negara.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan