AM

PEMASANGAN AED DI LOKASI AWAM SATU KEPERLUAN SEGERA - LEE LAM THYE

27/04/2025 12:32 PM

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Pemasangan Automated External Defibrillators (AEDs) di kemudahan awam perlu dianggap sebagai keutamaan negara yang mendesak, berikutan peranti ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan kadar kelangsungan hidup semasa berdepan situasi kecemasan melibatkan jantung.

Pengerusi Perikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye dalam kenyataan hari ini berkata jantung berhenti mengejut atau sudden cardiac arrest (SCA) ialah pembunuh senyap yang boleh menyerang sesiapa sahaja, di mana sahaja dan pada bila-bila masa sama ada di pusat beli-belah, tempat kerja, kemudahan sukan atau pengangkutan awam.

"Namun, apabila AED digunakan dalam beberapa minit pertama, kadar kelangsungan hidup dapat ditingkatkan hingga 70 peratus, justeru AED haruslah mudah diakses oleh orang awam, sama seperti alat pemadam api.

"AED seharusnya menjadi kelengkapan wajib di semua kemudahan awam, termasuk bangunan kerajaan, hab pengangkutan, pusat beli-belah, sekolah, kompleks sukan, dan tempat kerja. Sama seperti keperluan pintu keluar kecemasan dan alat pemadan api, AED perlu dijadikan langkah keselamatan yang wajib," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata kerajaan perlu memperkenalkan peraturan yang memastikan AED dipasang dan diselenggara dengan baik, dengan papan tanda jelas menunjukkan lokasinya.

Selain itu, Lee berkata petugas keselamatan dan pekerja di kemudahan berkenaan perlu dilengkapkan dengan latihan resusitasi kardiopulmonari atau bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dan AED untuk memaksimumkan kecekapan mereka ketika berhadapan dengan sesuatu kecemasan.

Beliau berkata beberapa negara termasuk Jepun, Australia dan United Kingdom telah memperkenalkan undang-undang yang memerlukan AED dipasang di kawasan awam, dan Malaysia sepatutnya mengikut langkah berkenaan.

Lee berkata kerajaan harus memainkan peranan utama dalam memperluas akses AED menerusi program pembiayaan, geran dan perkongsian dengan organisasi swasta, serta bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk memetakan kawasan berisiko tinggi dan memastikan AED ditempatkan secara strategik di lokasi yang paling diperlukan.

"Walaupun AED penting, ia bukan murah. Harga sebuah AED boleh mencecah antara RM6,000 hingga RM25,000 bergantung pada ciri-ciri yang ada, selain melibatkan kos penyelenggaraan.

"AED memerlukan pertukaran bateri dan pad setiap tiga hingga lima tahun bergantung pada model. Oleh itu, saya mencadangkan satu inisiatif pengecualian cukai atau subsidi bagi menempatkan AED di kawasan awam dan penetapan harga siling untuk barangan guna habis, seperti bateri dan pad AED," katanya.

Pada masa sama, Lee turut menekankan keperluan mewujudkan dan meningkatkan kesedaran awam.

Beliau berkata kempen pendidikan perlu disasarkan kepada semua lapisan masyarakat dan latihan asas CPR serta AED harus dimasukkan dalam sukatan pelajaran sekolah supaya orang ramai lebih bersedia bertindak balas ketika kecemasan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan