KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Ketua jurulatih Sri Pahang FC Fandi Ahmad berkata perlawanan separuh akhir Piala Malaysia 2024/2025 menentang Sabah FC merupakan "final" sebenar buat mereka dalam banyak aspek.
Bekas penyerang Pahang dan Singapura itu berkata anak buahnya meraikan kejayaan mara ke peringkat akhir kerana mereka percaya tuah mungkin tidak menyebelahi mereka pada perlawanan kemuncak itu.
Ironinya, dalam aksi berkenaan, skuad Tok Gajah tewas 1-2 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini malam tadi.
"Pasukan sangat komited untuk perlawanan ini kerana mereka tidak beraksi dengan baik dalam liga … sepatutnya tahun ini kami berusaha untuk berada dalam kelompok tiga teratas, tetapi pelbagai perkara berlaku, sangat sukar untuk memotivasikan pemain, namun kami perlu berjuang untuk piala ini, mesti mara ke final.
"Sebenarnya, perlawanan separuh akhir menentang Sabah FC merupakan final kami, (perlawanan malam tadi) pula satu bonus. Selepas beraksi, semua meraikannya kerana kami berjaya ke peringkat akhir walaupun kejayaan (menjadi juara) tidak berpihak kepada kami," katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Mengulas mengenai penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) semasa perlawanan, Fandi meluahkan rasa kecewanya.
"Bagi saya, VAR satu kekecewaan kerana tiada siapa tahu apa yang berlaku, hanya orang di dalam (yang tahu), kami tidak boleh kata baik atau buruk, adil atau tidak. Saya rasa anda semua tahu, tetapi apa yang boleh kami katakan?" katanya yang enggan mengulas lanjut tentang kualiti pengadilan.
Perlawanan akhir berintensiti tinggi itu menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas dua kad merah dilayangkan pengadil Razlan Joffri Ali kepada penyerang Sri Pahang Sergio Aguero dan pertahanan JDT Park Jun Heong.
Sri Pahang, di bawah bimbingan Fandi, mengejutkan JDT apabila mendahului menerusi jaringan pemain sayap T. Saravanan pada minit ke-14.
Namun, berbekalkan pengalaman, JDT bangkit menyamakan kedudukan dengan sepakan penalti daripada penyerang prolifik Bergson Da Silva pada minit ke-54 sebelum Arif Aiman Mohd Hanapi menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-74.
Kemenangan itu melengkapkan kejayaan triple treble JDT, menjadikan mereka satu-satunya pasukan mencapai tahap itu selepas Kedah mencatatkan double treble pada musim 2007 dan 2008.
Untuk rekod, triple treble merujuk kepada pencapaian memenangi tiga kejuaraan utama gelaran bola sepak Malaysia, iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia dalam satu musim.
-- BERNAMA