SUKAN

HOE YEAN RAIH EMAS BERGANDA TUTUP KEMPEN RENANG TERBUKA MALAYSIA

27/04/2025 07:50 PM

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Perenang lelaki negara Khiew Hoe Yean meneruskan dominasi apabila menambah dua lagi koleksi pingat emas pada hari terakhir Kejohanan Renang Terbuka Malaysia 2025 di Pusat Akuatik Negara, Bukit Jalil di sini hari ini.

Perenang Kuala Lumpur itu mengungguli acara 200 meter (m) rampaian individu menerusi catatan masa 2 minit 03.29 saat (s), sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri 2:03.77s, yang dilakukan pada kejohanan sama edisi 2023.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing diraih perenang Sarawak Hii Puong Wei (2:05.50s) dan Hong Kong Lo Tsz Lam (2:06.32s).

“Sukar untuk diluahkan dengan kata-kata kerana saya langsung tidak menjangka untuk memecahkan rekod kebangsaan dalam acara ini. Bagaimanapun, saya rasa kondisi saya cukup bagus pada sebelah pagi, begitu juga ketika sesi memanaskan badan.

“Sebenarnya saya hanya menjangkakan untuk melakukan catatan seperti 2:04s tetapi tak sangka lebih pantas. Saya sangat gembira, jadi akan fokus untuk kejohanan-kejohanan akan datang,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.

Perenang berusia 22 tahun itu kemudian mengetuai acara kuartet 4x100 lelaki Kuala Lumpur untuk emas kelapan pada kejohanan itu dengan catatan masa 3:46.93s.

Kuartet Selangor meraih perak (3:51.39s), manakala Hong Kong memenangi gangsa (3:55.09s).

Terdahulu, Ho Yean mengutip emas menerusi acara 100m gaya bebas, 100m kuak lentang, 200m gaya bebas, 400m gaya bebas, 200m kuak lentang dan 4x200m gaya bebas.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan