AM

TINGKAT KUALITI INTERNET DI KAWASAN PELANCONGAN SABAH - FAHMI

26/04/2025 07:18 PM

SANDAKAN, 26 April (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta syarikat telekomunikasi diminta meneliti serta merangka penyelesaian segera bagi peningkatan kualiti Internet di kawasan pelancongan di Sabah, lebih-lebih lagi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata ia bagi memastikan pelancong dapat memanfaatkan kelajuan Internet untuk berkongsi pengalaman mereka mengenai keindahan negara khususnya di Sabah selain menikmati perkhidmatan terbaik.

"Hasrat saya memastikan isu kesalinghubungan terutama di pusat pelancongan di Sabah mendapat perhatian khusus syarikat telekomunikasi dan juga MCMC kerana kita ingin memberi fokus kepada para pelancong yang datang mendapat kemudahan Internet laju, lebih-lebih lagi sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Selain liputan mudah alih, saya minta penelitian khusus untuk kita tingkat kemudahan wifi awam kerana kita dapati para pengunjung di kawasan pelancong boleh memuat naik apa yang mereka saksi untuk kandungan media sosial," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri pengujian liputan Internet Pusat Pelancongan di Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok dan Rainforest Discovery Centre (RDC) Sepilok di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Julina Johan, Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia Arul Rajoo Durar Raj dan Ketua Pegawai Sektor Hal Ehwal Negeri MCMC Bukhari Yahya.

Fahmi berkata selain memberi manfaat kepada rakyat secara umum, inisiatif peningkatan mutu kualiti perkhidmatan selular ini juga akan memberikan kesan limpahan ekonomi kepada pengusaha yang terlibat dalam aktiviti berasaskan pelancongan dengan meluaskan promosi secara dalam talian.

"Di samping itu, langkah-langkah tersebut juga dapat membantu para pelancong untuk menikmati pengalaman percutian yang baik di Negeri Sabah tanpa terputus hubungan dengan dunia luar," katanya.

Mengulas mengenai sesi ujian itu, beliau berkata sebanyak lima penyedia rangkaian telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, UMobile, Unifi Mobile dan Yes diuji dan rata-rata mendapat kadar liputan kelajuan antara 89 hingga 200 megabait sesaat. 

Beliau berkata hasil ujian mendapati liputan di kawasan itu adalah memuaskan khasnya lokasi tumpuan utama pengunjung di Pusat Pemuliharaan Orang Utan dan RDC Sepilok. 

Fahmi berkata bagaimanapun, terdapat beberapa lokasi lain yang mempunyai liputan lemah seperti kaunter penerimaan dan klinik veterinar di Pusat Pemuliharaan Orang Utan dan Lakeside Pavilion di RDC.

"Selain Sepilok, kita juga dapati kawasan pelancongan lain seperti Pulau Sipadan, Semporna, (amat) terkenal sebagai kawasan selam dunia.

"(Pulau) Sipadan ini kawasan yang langsung tidak ada bekalan kuasa atau bekalan amat terhad tapi ramai pelancong. Jadi kita mahu pastikan tempat seperti ini mempunyai liputan komunikasi yang baik," katanya.

Beliau berkata sesi libat urus bagi mengenal pasti kerjasama antara pusat pelancongan utama di bawah kelolaan Kerajaan Negeri Sabah dengan Kementerian Komunikasi turut diadakan dalam usaha menjadikan industri pelancongan berkembang pesat dengan bantuan capaian komunikasi dan Internet yang lebih baik. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan