Oleh Rosemarie Khoo
KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi sedikit, dirangsang oleh niaga hadapan minyak sayuran yang berkaitan di Chicago Mercantile Exchange (CME) dan Dalian Commodity Exchange (DCE).
Selain itu, peningkatan eksport pada April turut menyumbang kepada pengukuhan komoditi berkenaan, kata penganalisis kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa.
Beliau memberitahu Bernama, kenaikan itu bagaimanapun terhad disebabkan pengambilan untung yang sederhana menjelang pengumuman anggaran bekalan dan permintaan bagi April serta prospek pengeluaran yang meningkat.
Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng berkata harga minyak kacang soya dan jangkaan permintaan eksport yang kukuh dalam beberapa minggu akan datang menyokong sentimen pasaran.
"Kami melihat paras sokongan pada RM4,000 satu tan dan paras rintangan pada RM4,150 satu tan," kata Ng.
Pada penutup dagangan, kontrak Mei 2025 meningkat RM4 kepada RM4,139 satu tan, Jun 2025 bertambah RM8 kepada RM4,084 satu tan, Julai 2025 ,menokok RM21 kepada RM4,057 satu tan, manakala Ogos 2025 naik RM21 kepada RM4,047 satu tan.
Kontrak September 2025 meningkat RM19 kepada RM4,039 satu tan dan Oktober 2025 naik RM15 kepada RM4,029 satu tan.
Jumlah dagangan bertambah kepada 92,662 lot daripada 95,905 lot pada Khamis, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 239,137 kontrak daripada 235,722 kontrak semalam.
Harga MSM fizikal bagi Selatan Mei kekal pada RM4,200 satu tan.
-- BERNAMA