AM

PAMERAN SEMANGAT ASEAN TONJOL PENCAPAIAN MALAYSIA BERKAITAN PERPADUAN, INTEGRASI KAUM

24/04/2025 06:33 PM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Pameran Semangat ASEAN yang sedang berlangsung di Muzium Negara bukan sahaja memperkenalkan kepelbagaian budaya dan tradisi negara ASEAN, malah menonjolkan pencapaian Malaysia dalam soal perpaduan dan integrasi pelbagai kaum.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata sebagai institusi yang memelihara sejarah dan budaya negara, Muzium Negara memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat dan memperkukuhkan semangat perpaduan serta jati diri kebangsaan

“Melalui pendekatan yang inklusif dan interaktif, Muzium Negara berjaya menjadi ruang pertemuan budaya, tempat semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang boleh berkumpul, belajar, dan menghargai kekayaan sejarah negara kita bersama-sama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sebelum merasmikan Pameran Semangat ASEAN, Pameran Karya Agung dan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Jabatan Muzium Malaysia (JMM) di sini, hari ini.

Pameran Semangat ASEAN yang bermula sejak Isnin lepas sehingga 31 Ogos ini diadakan bersempena Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, dan menampilkan 120 koleksi budaya mewakili pelbagai negara anggota ASEAN.

Pameran Karya Agung yang bermula pada 15 April lepas sehingga 30 Jun ini pula mempamerkan pelbagai koleksi seni kraf tempatan daripada pelbagai kaum termasuk produk kraf dari kehalusan hasil kerja tangan lapan Tokoh Kraf Negara (TKN) dan 22 Adiguru Kraf (AGK).

Aaron berkata JMM khususnya Muzium Negara telah merangka 138 program menarik sepanjang tahun ini seperti pameran, bengkel dan aktiviti komuniti yang bukan sekadar memberi maklumat tetapi membina jambatan antara generasi dan kaum.

Sementara itu Aaron berkata koleksi The Birth of the Association of Southeast Asia Nations (Archives about the Formation of ASEAN, 1967–1976) yang dicalonkan Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand, berjaya diiktiraf di bawah Daftar Warisan Dunia UNESCO pada 17 April lepas di Paris, Perancis.

Beliau berkata The ASEAN Declaration atau Deklarasi ASEAN bertarikh 8 Ogos 1967 daripada Arkib Negara Malaysia merupakan salah satu bahan yang menyumbang kepada kejayaan ini.

“Turut mendapat pengiktirafan UNESCO Memory of the World International Register adalah The Works of Hamzah Fansuri, karya agung kesusasteraan Melayu abad ke-16 menerusi pencalonan bersama Perpustakaan Negara Malaysia dan Perpustakaan Nasional Republik Indonesia.

“Pengiktirafan ini amat signifikan kepada Malaysia selaku Pengerusi ASEAN,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan