AM

PAUS FRANCIS PEJUANG ISU KEMISKINAN, KEADILAN SOSIAL - AARON

21/04/2025 09:00 PM

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Pemergian Paus Francis bukan sahaja satu kehilangan besar buat penganut Katolik, malah dirasai oleh seluruh masyarakat dunia yang menghargai nilai-nilai kemanusiaan, keadilan dan keamanan global.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dalam catatan di Facebook hari ini berkata Paus Francis juga sentiasa memperjuangkan isu kemiskinan, pelarian, keadilan sosial serta keadilan buat penduduk Gaza.

“Pope (Paus) Francis dikenali sebagai pemimpin agama yang merendah diri, penuh kasih sayang dan berani memperjuangkan suara-suara yang terpinggir.

“Beliau menzahirkan erti sebenar perpaduan dengan menyeru kepada dialog antara agama, menghormati kepelbagaian dan memupuk keharmonian dalam kepelbagaian budaya dan kepercayaan. Saya merakamkan ucapan takziah kepada komuniti Katolik di seluruh dunia atas pemergian Yang Mulia Pope Francis,” katanya.

Memetik Anadolu Ajansi, Paus Francis, paus pertama dari Amerika Latin meninggal dunia pada usia 88 tahun hari ini.

Beliau sebelum ini mengalami masalah kesihatan berpanjangan termasuk kesukaran bernafas menyerupai asma yang dikaitkan dengan trombositopenia.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan