IPOH, 24 April (Bernama) -- Pelaksanaan hari rehat mingguan (HRM) untuk anggota bomba masih belum diputuskan dan memerlukan penelitian lanjut, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Beliau berkata pihaknya telah menerima cadangan berkenaan dan akan berbincang dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk penelitian lebih lanjut tentang keperluannya.
“Kita baru menerima cadangan tersebut, cuma mungkin kerana pihak bomba rasa itu satu keperluan mungkin terawal mengumumkannya.
“Insya-Allah kita akan teliti bersama pihak bomba dan KPKT jika apa yang dimohon itu ada justifikasi, ada kewajaran untuk kita membantu, kita akan bantu,” katanya pada sidang media selepas majlis perjumpaan bersama pegawai awam negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan pelaksanaan HRM untuk warga bomba yang sepatutnya bermula 1 Mei ini ditangguhkan.
Dalam perkembangan lain, Wan Ahmad Dahlan berkata sebarang perkara berkaitan pelaksanaan skim MySTEP terletak di bawah tanggungjawab sesebuah kementerian.
"MySTEP di bawah kementerian. Kebenaran diberikan oleh Kementerian Kewangan dan pihak kementerian sendiri yang akan memutuskannya," katanya.
Semalam, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan semula pelaksanaan skim MySTEP kepada pegawai pemantau harga (PPH), yang berkhidmat di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Presiden CUEPACS Datuk Adnan Mat berkata pihaknya membantah pelaksanaan skim itu, yang dilihat akan menjejaskan kualiti kehidupan PPH, kerana jurang gaji yang jauh lebih rendah berbanding skim kontrak untuk perkhidmatan (CFS) yang dinikmati ketika ini.
Dalam pada itu, beliau berkata kira-kira 80 peratus penjawat awam di Putrajaya mengalami masalah berat berlebihan dan menyeru mereka supaya mengutamakan pemilihan pemakanan yang betul selain mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersenam dan melakukan aktiviti bersukan.
-- BERNAMA