AM

BUKU 'H.E.M.A.T.: ASPIRASI MENUJU REFORMASI', USAHA TAMBAH BAIK SISTEM PENYAMPAIAN SEKTOR AWAM

18/04/2025 08:50 PM

BUTTERWORTH, 18 April (Bernama) -- Buku “H.E.M.A.T.: Aspirasi Menuju Reformasi” tulisan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz menjadi simbol penting terhadap usaha menambah baik sistem penyampaian seluruh warga penjawat awam, sejajar aspirasi Kerajaan MADANI.

Wan Ahmad Dahlan yang merasmikan pelancaran buku itu di sini berkata buku berkenaan hasil garapan beliau berdasarkan pengalaman lebih 30 tahun berkhidmat dengan pelbagai jabatan yang berurusan secara langsung dengan rakyat, antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Daripada pengalaman itu, saya melihat bahawa perlu ada satu anjakan dilakukan oleh penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat, terutama berkaitan dokumen seperti sijil kelahiran, pasport, lesen memandu dan sebagainya.

“Dalam hal ini, penjawat awam perlu mencari satu kaedah baharu bagaimana kita boleh memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat berbanding masa dahulu,” katanya ketika pada majlis pelancaran buku itu yang diadakan bersempena Program Bitara MADANI - Bicara Aspirasi H.E.M.A.T: Aspirasi Menuju Reformasi di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth.

Beliau berkata banyak perkara digariskan dalam buku itu dan meminta penjawat awam menelaah buku berkenaan sebagai panduan dan pedoman untuk melakukan perubahan supaya rakyat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.

H.E.M.A.T. (Hijrah Tata Kelola, Empati Rakyat, Minda Pekin, Apresiasi Inovasi dan Telus Tadbiran) yang diperkenalkan tahun lepas, sebagai nilai teras ke arah melakar budaya kerja baharu yang progresif, inklusif dan berdaya saing dengan pembudayaannya disesuaikan oleh tiga prinsip iaitu memudahkan, menyesuaikan dan menyegerakan. 

Wan Ahmad Dahlan berkata buku yang dihasilkan dalam dwibahasa itu bukan sekadar catatan pengalaman, tetapi sebuah dokumen aspirasi H.E.M.A.T. sebagai rujukan penjawat awam untuk dibudayakan dalam memacu agenda reformasi perkhidmatan awam dan memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan awam agar lebih dinamik, inovatif dan berpaksikan rakyat.

Sementara itu, Bicara Aspirasi H.E.M.A.T: Aspirasi Menuju Reformasi yang dihadiri seramai 1,500 pegawai awam dari negeri Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Perlis, anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Utara (INTURA) dengan kerjasama agensi kerajaan dari negeri-negeri di utara pula menjadi wadah strategik dalam menyampaikan mesej transformasi sektor awam.

Selain perkongsian ilmu, penganjuran itu juga mencetus gelombang pemikiran kritikal dan memperkukuh semangat kolektif pegawai awam untuk menjadi pemacu utama reformasi perkhidmatan awam yang lebih dinamik dan menyeluruh.

Sempena Program Bitara MADANI-Bicara Aspirasi H.E.M.A.T: Aspirasi Menuju Reformasi itu, turut diadakan ialah Ziarah Kasih untuk menyantuni dua pesara kerajaan dan dua peserta eKasih yang mengalami komplikasi kesihatan dan ketidakupayaan, melambangkan keprihatinan kerajaan terhadap jasa dan pengorbanan pegawai awam dan peserta.  

Wan Ahmad Dahlan berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak pernah melupakan para pesara apatah lagi mereka yang ditimpa musibah dan program seumpama itu memang sudah menjadi rutin setiap kali pihaknya terlibat dengan acara di luar Putrajaya.

Sementara itu, seorang pesara Azimah Bakar, 55, dari Kampung Telok Sungai Dua berterima kasih atas keprihatinan KPPA yang sudi mengunjunginya dan memberikan bantuan berupa kerusi roda serta bakul makanan.

Bekas guru Sains Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Jaya itu berkata beliau bersara pada 2020 selepas diserang angin ahmar sehingga menyebabkan tempurung kepala sebelah kirinya terpaksa dibuang berikutan pendarahan di kepala.

Samsiah Muhammad, 47, pula berkata suaminya Mohd Zulhamiros Mohamad Amir, 50, yang sebelum ini berkhidmat sebagai pegawai teknologi maklumat di Universiti Sains Malaysia juga terpaksa berhenti kerja selepas lumpuh akibat strok.

“Suami rebah dan tidak sedarkan diri di pejabat akibat strok pada Jun 2018 dan pemeriksaan mendapati berlaku pendarahan di kepala menyebabkan beliau koma selama sebulan di Hospital Pulau Pinang namun keadaannya kini semakin baik sehingga boleh duduk di atas kerusi roda, tetapi masih memerlukan pemantauan,” katanya yang juga jurutera awam di Jabatan Kerja Raya.

Samsiah yang menerima bantuan lampin pakai buang dan susu menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas sumbangan diberikan, ia sekurang-kurangnya dapat meringankan beban serta perbelanjaan untuk suaminya.

Selain Azimah dan Mohd Zulhamiros, penerima eKasih M. Arunmoli, 68, yang dikunjungi pada program itu menerima bantuan bakul makanan dan wang tunai manakala P. Panhacharam, 52, yang menghidap strok dan darah tinggi pula diberikan katil, kerusi roda dan lampin pakai buang.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan