PUTRAJAYA, 15 April (Bernama) -- Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi seorang pemimpin yang sangat tenang dan tidak tergopoh-gapah dalam melaksanakan sesuatu tindakan bagi menangani sesuatu krisis, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Berkongsi pengalaman peribadi mengenali sosok Allahyarham yang mesra dengan panggilan Pak Lah itu, Wan Ahmad Dahlan berkata Tun Abdullah sentiasa melihat setiap krisis mempunyai jalan penyelesaian tersendiri.
“Sepanjang saya berkhidmat di bawah pentadbiran beliau banyak perkara yang saya pelajari terutamanya dalam menangani krisis.
“Pendekatan yang digunakan oleh Tun Abdullah sebenarnya begitu mudah iaitu sentiasa melihat sesuatu perkara atau isu itu boleh diselesaikan iaitu dengan kaedah yang lebih berhemah dan lebih tertib,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jalinan Ukhuwah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini hari ini.
Wan Ahmad Dahlan yang telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam hampir 30 tahun turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang guru dan pemimpin kepada semua pegawai yang berkhidmat di bawah pentadbirannya pada 2003 hingga April 2009.
“Sepanjang ingatan saya, tidak pernah ada perkara yang di luar daripada kebiasaan beliau iaitu sentiasa tenang, malah ia lebih kepada bersifat memberi pendidikan kepada pegawai kerajaan pada masa itu,” katanya.
Beliau berkata antara sumbangan paling signifikan Pak Lah dalam sektor perkhidmatan awam adalah memberi penekanan kepada penjawat awam untuk menyampaikan perkhidmatan terbaik supaya rakyat dapat merasai semua perkhidmatan yang ditawarkan oleh kerajaan.
“Sebenarnya sumbangan Allahyarham sangat banyak dalam perkhidmatan kerana beliau juga seorang penjawat awam sebelum ini.
“Apa yang pasti antara perkara signifikan kepada perkhidmatan awam adalah berkaitan penyampaian perkhidmatan atau sistem penyampaian, beliau menekankan supaya penjawat awam sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan itu sebenarnya menjadi ikutan hingga ke hari ini,” katanya.
Wan Ahmad Dahlan berkata pemergian Tun Abdullah merupakan satu kehilangan besar kepada negara dan sektor perkhidmatan awam.
Tun Abdullah meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam tadi dan selamat disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara pada 2.30 petang.
Perdana Menteri kelima itu dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara.
-- BERNAMA