RIYADH, 16 April (Bernama-SPA) -- Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud berkenan menzahirkan ucapan takziah kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas pemergian bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Raja Salman yang juga Penjaga Dua Masjid Suci turut berkenan menyampaikan perutusan takziah kepada Sultan Ibrahim, keluarga Allahyarham dan rakyat Malaysia. Baginda turut mendoakan Seri Paduka Baginda terus dikurniakan kesihatan yang baik.
Sementara itu, Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman berkenan menyampaikan perutusan takziah berasingan kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Putera Mahkota Arab Saudi itu menyampaikan rasa simpati mendalam kepada Perdana Menteri serta keluarga Abdullah dan juga mendoakan agar Anwar sentiasa dalam keadaan sihat.
Abdullah selamat disemadikan dengan Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara pada kira-kira 2.30 petang, Selasa.
Allahyarham meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 7.10 malam Isnin pada usia 85 tahun.
-- BERNAMA-SPA