SEREMBAN, 24 April (Bernama) -- Pemilihan semula Ketua Cabang PKR Jempol akan diadakan minggu ini susulan calon yang memenangi jawatan itu baru-baru ini disahkan masih ahli Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), kata Naib Presiden PKR Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan berkata perkara berkenaan adalah seperti yang diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu.
“Dia meletakkan jawatan sebagai ahli Pejuang selepas menang (Ketua Cabang Jempol) baru-baru ini. Apabila siasatan terperinci dibuat memang sah (ahli Pejuang), kita terpaksa keluarkan demi keselamatan parti, sekarang ini parti akan menilai semua Ketua Cabang, jika ada berlaku di tempat lain kita akan ambil keputusan serupa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-15 di sini hari ini.
Pemilihan Ketua Cabang Jempol baru-baru ini dimenangi Azizah Salim Shah yang berjaya meraih 450 undi mengatasi Manivanan Gowin (248 undi), Muhammad Asri Abdullah (83 undi) dan K. Mariappan, 52 undi.
Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh dalam kenyataan semalam berkata MPP telah dimaklumkan berkenaan status keanggotaan calon-calon yang telah bertanding dalam Pemilihan PKR 2025.
Mesyuarat juga kata Fuziah, telah membuat keputusan dasar, iaitu seseorang anggota PKR setelah menjadi calon PKR dan kemudian didapati telah menjadi ahli mana-mana parti lain, akan digugurkan keanggotaan mereka serta hilang kelayakan untuk menjadi calon dan terbatal pencalonan mereka.
-- BERNAMA