SHAH ALAM, 24 April (Bernama) -- Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) akan terus ditambah baik dengan menambah mata pelajaran Biologi, Fizik dan Kimia dalam senarai subjek bantuan kelas tambahan yang disediakan, kata kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata penambahan itu antara lain bertujuan membantu meningkatkan pencapaian murid dalam mata pelajaran Sains Tulen, khususnya bagi mereka yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Kita dapat lihat kesinambungan PTRS telah memberikan kesan yang baik kepada pelajar di mana angka-angka dan prestasi yang direkodkan dalam keputusan SPM 2024 bagi Selangor menunjukkan peningkatan kualiti pencapaian calon yang lebih baik.
"Hasrat meningkatkan kualiti bagi mata pelajaran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik) telah menampakkan hasil melalui peningkatan prestasi subjek elektif itu dalam Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) SPM 2024, dan untuk kehadapan, kita akan perkasakan juga subjek Biologi, Fizik dan Kimia," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pengumuman keputusan SPM 2024 bagi negeri Selangor yang disampaikan oleh Pengarah Pendidikan negeri Dr Jafri Abu di sini hari ini.
Diperkenalkan pada 2009, PTRS ialah bantuan kelas tambahan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Matematik Tambahan untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang mempunyai prestasi pelajaran sederhana atau lemah.
Selain modul pembelajaran, PTRS turut menyediakan elaun kepada 1,956 guru dan penyelaras terlibat selain murid daripada 277 sekolah yang mengikutinya disediakan makan tengah hari percuma.
Amirudin berkata beliau percaya intervensi yang dilakukan kerajaan negeri melalui PTRS sedikit sebanyak berjaya menambah baik pencapaian pelajar selain meningkatkan kualiti pendidikan di Selangor sebagaimana yang ditunjukkan melalui Gred Purata Negeri (GPN) dalam SPM 2024 yang diumumkan hari ini.
Bagi Selangor, pencapaian GPN bagi 2024 adalah 4.59, meningkat 0.08 mata daripada 4.67 yang direkodkan tahun lepas, manakala daripada 73,799 calon, seramai 2,368 calon atau 3.65 peratus memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran berbanding 2,005 calon (3.15 peratus) pada 2023.
Berhubung SPM 2024, Amirudin berkata beliau gembira melihat usaha berterusan Kementerian Pendidikan (KPM) dan kerajaan negeri mengurangkan kes ketidakhadiran calon ketika peperiksaan mula membuahkan hasil dengan trend penurunan yang signifikan direkodkan beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau berkata pada 2022 jumlah calon tidak hadir peperiksaan adalah seramai 2,387 orang, yang kemudiannya berkurang kepada 1,700 pada 2023 diikuti 1,221 calon tahun lepas.
"Kita akan terus berusaha menjejaki mereka yang tidak hadir peperiksaan ini melalui jaringan yang ada, dan memastikan mereka diberi peluang kedua mengambil SPM sekiranya berminat," katanya.
-- BERNAMA