AM

SISTEM RUMAH PAM TAMAN SRI MUDA TELAH BERFUNGSI SEPENUHNYA - AMIRUDIN

22/04/2025 08:23 PM

SHAH ALAM, 22 April (Bernama) -- Sistem Rumah Pam di Taman Sri Muda di sini telah berfungsi sepenuhnya pada Rabu lepas, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata masalah berkaitan rumah pam itu selesai selepas Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyambung bekalan elektrik, membolehkan sistem pam berfungsi.

“Sebelum ini, TNB tidak dapat menyalurkan elektrik atas faktor tertentu dan kita lihat pada Sabtu lepas, hujan lebat selama dua jam, tetapi banjir tidak berlaku di Taman Sri Muda (selepas rumah pam kembali berfungsi),” katanya.

Amirudin berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara KDEB Waste Management (KDEBWM) dengan Nestle Malaysia, untuk Program SELKitar di sini hari ini.

Pada 13 April, media melaporkan Amirudin berkata kegagalan sistem pam kawalan banjir di Selangor berfungsi antara punca kelewatan dalam usaha mengawal bencana itu di kawasan kritikal. 

Beliau semasa itu memberi jaminan, akan berhubung dengan TNB kerana bekalan elektrik belum disambungkan sepenuhnya di kawasan terlibat, dikenal pasti sebagai punca perkara itu berlaku.

Amirudin berkata beliau memahami trauma dan masalah dihadapi penduduk akibat banjir, dengan kerajaan negeri telah mengambil beberapa langkah segera bagi menangani isu tersebut.

Ini termasuk menubuhkan pasukan petugas khas membabitkan pelbagai agensi termasuk peringkat Persekutuan, selain mengarahkan Exco Infrastruktur Datuk Izham Hashim mengenal pasti tindakan untuk menangani isu banjir kilat di Taman Sri Muda dengan segera.

Amirudin berkata selain rumah pam kembali beroperasi, kerajaan negeri akan memastikan kunci air sentiasa berfungsi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak culas dalam menyelenggara longkang serta sistem perparitan, khususnya di kawasan berisiko banjir seperti Taman Sri Muda.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan